ORANG ramai mendapatkan bekalan petrol percuma. FOTO Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
ORANG ramai mendapatkan bekalan petrol percuma. FOTO Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


Parit Buntar : Lebih 200 penunggang motosikal menerima bekalan minyak petrol percuma di Stesen Minyak Petronas Kuala Kurau di sini, hari ini.

Bermula 8 sehingga 9.15 malam, kesemua penunggang motosikal beratur hampir 30 meter bagi mendapatkan bekalan minyak petrol percuma itu.

Seorang penuggang, Abdul Rahman Khairuddin, 28, berkata, dia tidak kisah berbaris sejauh 30 meter untuk mendapatkan bekalan petrol percuma kerana peluang sebegini belum pernah diterimanya.

"Biarpun terpaksa berbaris panjang dan menunggu agak lama namun saya tidak kisah, kerana peluang ini jarang dimiliki.

"Justeru saya dan adik, Salamuddin, 24, turut tidak melepaskan peluang ini," katanya.

Seorang lagi penerima, Marliana Muhamad Naseer, 40, berkata, bekalan minyak percuma yang diterimanya pada saat kenaikan harga minyak itu, dianggap sebagai durian runtuh oleh penunggang motosikal sepertinya.

Petrol percuma itu hasil sumbangan Pergerakan Pemuda UMNO Parit Buntar.

Ketua Pemuda UMNO Parit Buntar Muammar Ghadafi Jamal Jamaludin berkata, berikutan kenaikan harga minyak petrol hari ini, pihaknya tampil bagi meringankan beban rakyat dengan setiap penunggang motosikal menerima bekalan minyak petrol berjumlah RM5 seorang.

"Ini adalah program kedua dilakukan. Sebelum ini kami turut memberikan petrol penuh percuma kepada lebih 100 penunggang motosikal di Stesen Minyak Petronas pusat bandar Parit Buntar.

"Program ini bakal diadakan setiap bulan di lokasi berbeza dengan satu tujuan iaitu untuk meringankan beban yang ditanggung rakyat akibat kenaikan harga minyak," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Februari 2017 @ 11:37 PM