ANGGOTA bomba mengusung mayat lelaki yang ditemui di bawah jambatan Kampung Koskan, Sungai Choh di Rawang, hari ini. FOTO Amrullah Abdul Karim
ANGGOTA bomba mengusung mayat lelaki yang ditemui di bawah jambatan Kampung Koskan, Sungai Choh di Rawang, hari ini. FOTO Amrullah Abdul Karim
Amrullah Abdul Karim


MAYAT lelaki dipercayai berusia 30-an ditemui orang awam terapung dan tersangkut pada tiang paip besar di bawah jambatan Kampung Koskan, Sungai Choh, Rawang, hari ini.

Dalam kejadian 2.45 petang, mayat itu ditemui kaki pancing yang hendak memancing di kawasan terbabit dalam keadaan sudah kembung.

Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Ihsan Ibu Ab Wahab Shaari, 56, berkata keadaan mayat itu tidak berbaju dan memakai seluar jeans berwarna biru.

“Penduduk kampung nak memancing di situ, tapi nampak ada objek berwarna hitam putih.

“Apabila didekati nampak jelas bentuk badan manusia yang sudah kembung dan berbau," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Superintendan Lim Bhak Pai berkata, pihaknya sedang melakukan siasatan berhubung kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 April 2018 @ 7:05 PM