LAPORAN portal Harian Metro
LAPORAN portal Harian Metro
Rosman Shamsudin


POLIS meminta sesiapa yang kehilangan ahli keluarga atau kenalan tampil membantu siasatan berikutan penemuan mayat seorang wanita dekat ladang kelapa sawit di Jalan Sungkai-Bidor, Bidor dekat Tapah, semalam.

Ketua Polis Daerah Tapah, Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, mangsa yang berusia antara 40 hingga 50 tahun tanpa identiti terbabit berbadan gempal dengan ketinggian kira-kira 152 sentimeter (cm).

"Hasil siasatan polis, ketika kejadian didapati mangsa memakai baju bercorak bunga hitam dan merah serta berkain batik dengan warna kekuningan coklat .

"Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh dan berharap sesiapa yang kehilangan ahli keluarga atau kenalan menghubungi polis atau balai polis berhampiran," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Wan Azharuddin berkata, mereka yang mempunyai maklumat juga boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Kes, Asisten Superintendan Noor Irwan di talian 054011222 atau 0173168097 dengan segera bagi membantu siasatan polis.

Hari ini, portal Harian Metro melaporkan mayat wanita separuh bogel ditemui dalam keadaan berulat dalam ladang kelapa sawit di Jalan Sungkai -Bidor dekat Bidor, semalam.

Polis menerima laporan penemuan mayat wanita tanpa identiti terbabit pada 1.45 petang selepas ia dijumpai oleh orang awam.

Mayat wanita terbabit ditemui dekat cerun belukar di ladang itu iaitu kira-kira 200 meter dari jalan utama.

Siasatan awal mendapati mangsa berusia antara 40 hingga 50 tahun itu ditemui dalam keadaan terlentang dan seluruh badannya juga sudah kembung.

Pasukan Forensik Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, pegawai patologi dan kakitangan Pejabat Kesihatan Daerah Batang Padang dikejarkan ke tempat kejadian.

Mayat dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh untuk proses bedah siasat dan mengenalpasti punca kematian.

Berita berkaitan

Mayat wanita separuh bogel sudah berulat

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Jun 2020 @ 11:34 PM