Anggota bomba mengeluarkan mayat mangsa yang ditemukan dalam longkang. FOTO ihsan JBPM
Anggota bomba mengeluarkan mayat mangsa yang ditemukan dalam longkang. FOTO ihsan JBPM
Abdul Rahemang Taiming


Tawau: Mayat seorang lelaki dalam keadaan kembung ditemukan dalam longkang berhampiran sebuah kilang papan di Log Pond Tanjung Batu, dekat sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas berkata, pihaknya menerima maklumat berkenaan penemuan mayat itu daripada orang awam kira-kira jam 10.45 pagi.

Menurutnya, identiti mangsa belum dapat dikenal pasti berikutan tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemukan pada mayat itu.

"Siasatan awal dijalankan mangsa dipercayai sudah meninggal dunia antara dua atau tiga hari berikutan keadaan mayat yang sudah mula kembung.

"Polis juga tidak menemukan sebarang kecederaan pada tubuh badan mangsa atau unsur jenayah di lokasi kejadian," katanya pada sidang media di pejabatnya di sini, hari ini.

Peter berkata, pihaknya meminta bantuan daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau bagi mengangkat mayat berkenaan dari dalam longkang sebelum diserahkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Mengulas lanjut, katanya, pada 28 Disember lalu, seorang wanita berusia 62 tahun tampil membuat laporan polis berhubung kehilangan suaminya berusia 68 tahun yang hilang selepas beberapa hari tidak pulang ke rumah.

Bagaimanapun katanya, ahli keluarga wanita berkenaan tidak dapat membuat pengecaman atau mengesahkan identiti mayat yang ditemui hari ini berikutan keadaan fizikal serta pakaian dipakai mangsa sukar dikenal pasti.

"Ketika ini mayat mangsa dihantar ke unit forensik Hospital Tawau untuk menjalani ujian saringan Covid-19 sebelum bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian seterusnya menjalani ujian DNA.

"Kita juga meminta mana-mana individu yang maklumat berkenaan kes ini atau kehilangan ahli keluarga supaya tampil di mana-mana balai berhampiran," katanya sambil menambah kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR)

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 January 2022 @ 5:02 PM