AHMAD Razif (kiri) mencuba ayam goreng Chicken Cottage sambil diperhatikan Wan Nawawi (dua kanan) dan Dr Wan Rudirman (kanan) pada majlis pelancaran restoran makanan segera Chicken Cottage di Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur, hari ini. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman
AHMAD Razif (kiri) mencuba ayam goreng Chicken Cottage sambil diperhatikan Wan Nawawi (dua kanan) dan Dr Wan Rudirman (kanan) pada majlis pelancaran restoran makanan segera Chicken Cottage di Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur, hari ini. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman
Siti Salmiah A Hamid


HAMPIR 100 pengunjung menyerbu cawangan pertama Chicken Cottage yang mula dibuka di Lembah Klang, hari ini.

Jenama berasaskan rangkaian makanan segera ‘halalan toyyiban’ terletak di Taman Tun Dr Ismail (TTDI) Kuala Lumpur itu adalah cawangan ke-90.

Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, selain Lembah Klang, Chicken Cottage turut menyasarkan pembukaannya di Putrajaya dan Johor dalam masa terdekat.

“Untuk membuka cawangan Chicken Cottage, kita melakukan kajian dan mengenal pasti demografi kawasan sekurang-kurangnya enam bulan bagi memastikan kelancaran operasi dan tenaga kerja mencukupi.

“Francais berpeluang meluaskan jenama ini hingga ke luar negara, namun memerlukan sekurang-kurangnya RM1 juta untuk satu cawangan di dalam negara," katanya pada sidang media Majlis Pembukaan Cawangan Pertama Chicken Cottage di Lembah Klang di Kuala Lumpur, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Chicken Cottage Holdings Sdn Bhd Datuk Wan Nawawi Wan Ismail, Presiden Terengganu Incorporated Sdn Bhd (Terengganu Inc) Dr Wan Rudirman Wan Razak dan Ketua Pegawai Eksekutif Chicken Cottage (M) Sdn Bhd Mohd Anuar Osman.

Ahmad Razif berkata, Chicken Cottage memiliki sijil pengesahan halal daripada jabatan agama di dalam dan luar negara, justeru tidak menjadi isu sekiranya jenama itu diuar-uarkan dengan meluas.

“Menerusi konsep halalan toyyiban, kerajaan negeri akan memastikan francais terutama di luar negara mampu membawa jenama Chicken Cottage seiring dengan konsep patuh syariah.

“Pembukaan cawangan di luar negara memberi peluang kepada umat Islam untuk menikmati makanan halal, malah masyarakat bukan Islam turut bersetuju dan menerima konsep ini kerana menyediakan makanan berkualiti dan bersih,” katanya.

Beliau berkata, dalam masa lima tahun akan datang, sebanyak 250 cawangan Chicken Cottage bakal beroperasi di seluruh dunia termasuk Nigeria, Sepanyol, Pakistan serta negara jiran seperti Thailand, China, India dan Singapura serta Dubai yang bakal membuka lima cawangannya pada tahun ini.

Sementara itu, Wan Nawawi berkata, persempadanan antara Kuala Lumpur dan Petaling Jaya, Selangor menjadi faktor utama pemilihan TTDI sebagai outlet pertama di Lembah Klang.

“Selain dikenali sebagai lokasi komersial berdekatan dengan Pusat Beli Belah 1Utama, IKEA, KPJ Damansara dan Tropicana City Mall, TTDI turut memiliki jaringan pengangkutan MRT yang baru dibuka di sini.

"Chicken Cottage bakal diangkat sebagai jenama antarabangsa setanding 'Quick Service Restaurants (QSR)' lain seperti McDonalds, Pizza Hut dan Burger King,” katanya.

Pembelian saham Chicken Cottage yang berbaki 30 peratus pada April 2017 menjadikan jenama itu sebagai hak mutlak kerajaan negeri dan jenama Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 April 2018 @ 7:53 PM