KUALA LUMPUR: Syarikat Secret Recipe Manufacturing Sdn Bhd boleh memohon semula sijil halal untuk premis itu setelah prosedur pensijilan melibatkan kesalahan kebersihan dan Amalan Pengilangan Yang Baik (GMP) dipatuhi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, sijil halal yang dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) adalah berdasarkan dua perkara, iaitu penggunaan produk dalam penghasilan makanan tidak mengandungi elemen haram dan konsep 'toyyibban'.

"Sijil halal JAKIM berdiri atas 'halalan' dan 'toyyiban' mengikut GMP yang serius, termasuk menjaga kebersihan barangan semasa ia diproses sehinggalah ia menjadi makanan dan dihidang di atas meja.

"Kalau terhindar daripada barangan haram iaitu 'halalan' tetapi aspek 'toyyiban' iaitu tempat proses produk itu tidak diyakini bersih dan tidak memenuhi prosedur operasi standard (SOP) sijil halal, maka JAKIM boleh tangguh atau menarik balik sijil tersebut. Bagi yang ditarik balik mereka boleh pohon semula," katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan Idris Ahmad (PAS-Bukit Gantang) yang ingin tahu lebih lanjut mengenai penarikan sijil halal syarikat Secret Recipe di Taman Mayang, Petaling Jaya.

Jamil Khir berkata, syarikat itu yang mempunyai 297 rangkaian kedai di seluruh negara perlu menitikberatkan soal kebersihan kerana faktor itu amat diberi perhatian oleh pengunjung luar negara yang datang ke negara ini.

Pada 7 Mei lalu, JAKIM menarik sijil pengesahan halal Syarikat Secret Recipe Manufacturing Sdn Bhd kerana pelanggaran prosedur pensijilan melibatkan kesalahan kebersihan dan Amalan Pengilangan Yang Baik (GMP) yang serius.

Semalam, Pengarah Bahagian Hab Halal JAKIM, Hakimah Mohd Yusoff menjelaskan penarikan sijil itu bukan disebabkan kesalahan penggunaan bahan haram dalam pemprosesan produk itu.

Menjawab soalan asal Datuk Seri Abdul Ghapur Salleh (BN-Kalabakan), Jamil Khir berkata, pada masa kini sebahagian restoran dan kafe yang beroperasi di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) dan KLIA2 telah memiliki sijil halal.

Beliau berkata, di KLIA, sebanyak 15 daripada 62 premis makanan telah memiliki sijil halal, manakala di KLIA 12 daripada 66 restoran dan kafe mempunyai sijil tersebut.

"Restoran dan kafe terutama restoran berangkai seperti Kenny Rogers, Kentucky Fried Chicken, Marrybrown dan Starbucks merupakan pemegang sijil pengesahan halal Malaysia dan dalam hal ini pengguna diajak memainkan peranan untuk memilih tempat makan yang mempunyai sijil halal," katanya.

Berhubung cara mempamerkan sijil halal, beliau berkata setiap syarikat dan pengusaha pemegang sijil pengesahan halal Malaysia yang masih sah berhak untuk mempamerkan sijil dan logo halal pada premis dan produk mereka.

"Berdasarkan Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia (Semakan Ketiga) 2014, sijil tersebut hendaklah dipamerkan pada setiap masa di alamat yang dinyatakan pada sijil berkenaan," katanya. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Mei 2015 @ 1:32 PM