PENGARAH Urusan Farmasi Al Arif Sdn Bhd, Farahi Arif.
PENGARAH Urusan Farmasi Al Arif Sdn Bhd, Farahi Arif.
MODAL membuka cawangan Farmasi Al-Arif antara RM350,000 ke RM500,000 bergantung lokasi dan saiz.
MODAL membuka cawangan Farmasi Al-Arif antara RM350,000 ke RM500,000 bergantung lokasi dan saiz.
Oleh Sri Ayu Kartika Amri

FARMASI Al Arif Sdn Bhd, merancang untuk membuka 100 cawangan Farmasi Al-Arif di seluruh Malaysia menjelang 2025.

Ia sekali gus mengukuhkan pasarannya sebagai pemasar produk farmaseutikal halal utama di negara ini.

Pengarah Urusannya, Farahi Arif berkata, sejak ditubuhkan pada 2019, Farmasi Al-Arif mempunyai 20 rangkaian di tujuh negeri antaranya di Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Kelantan, Terengganu, Selangor dan Putrajaya.

Katanya, sebagai syarikat farmasi komuniti pertama mendapat pensijilan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bagi skim logistik (penggudangan), pihaknya komited mengetengahkan produk yang halal, dan tidak mengandungi unsur meragukan.

"Kelebihan Farmasi Al-Arif, kami memang fokus kepada produk halal serta mempunyai unit Halal Farmasi yang akan menganalisis bahan-bahan terkandung dalam produk kesihatan dan perubatan supaya kita boleh mengkelaskan produk terbabit dalam empat kategori utama supaya tiada unsur syubhah mahupun meragukan.

"Sasaran pelanggan kami merangkumi mereka yang beragama Islam dan bukan beragama Islam kerana kami yakin bahawa konsep Halalan Toyyiban memastikan produk yang dihasilkan adalah lebih berkualiti dan selamat untuk digunakan.

"Setiap cawangan ada ahli farmasi bertauliah yang bertugas dan kita akan menyediakan masyarakat dengan data yang cukup supaya mereka mempunyai pilihan produk terbaik," katanya kepada Bisnes Metro.

Menurutnya, mengenai perancangan peluasan cawangan, syarikat juga membuka peluang menjadi rakan usaha sama (JV) yang berminat menjadi pemegang lesen Farmasi Al-Arif dan menyasarkan separuh daripada rangkaian yang akan dibuka terdiri daripada pemegang lesen.

"Modal untuk membuka satu cawangan Farmasi Al-Arif antara RM350,000 ke RM500,000 bergantung lokasi dan saiz dan setakat ini, kami mempunyai anggaran 5,000 unit simpanan stok (SKU) di mana turut dijual melalui platform digital farmasialarif.com

"Misi kami menjadi hab kesihatan dan komuniti farmasi Halalan Toyyiban, selain mengeluarkan produk sendiri," katanya.

Ini kerana kami juga ada kilang pembuatan peranti perubatan serta dalam proses naik taraf untuk menggunakan sistem robotik bagi gudang dan mengadaptasi teknologi Revolusi Industri 4.0," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Oktober 2022 @ 7:00 AM