RAZMAN (duduk kanan) pada sidang media di Ibu Pejabat PAS Perak, Ipoh, hari ini. FOTO L Manimaran
RAZMAN (duduk kanan) pada sidang media di Ibu Pejabat PAS Perak, Ipoh, hari ini. FOTO L Manimaran
Shamsul Kamal Amarudin


PAS Perak akan bertanding di 43 daripada 59 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Perak termasuk mengemukakan empat calon bukan Islam dalam Pilihanraya Umum Ke-14 (PRU-14) akan datang.

Pesuruhjayanya Razman Zakaria berkata, parti itu menetapkan sasaran memenangi sekurang-kurangnya 30 kerusi bagi mendapatkan majoriti mudah sekali gus membentuk kerajaan negeri.

Katanya, PAS akan bertanding di semua 39 kerusi yang mempunyai majoriti pengundi Melayu/Islam dan empat kawasan majoriti Cina yang akan diwakili oleh ahli Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP).

“Mengenai siapa yang akan bertanding (di semua 43 kerusi) dan di mana mereka (calon DHPP) akan bertanding, itu sedang dikenal pasti," katanya pada sidang media di pejabat PAS Perak di Ipoh, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak Radzi Zainon dan Misbahul Munir Masduki, Ketua Penerangan Wan Tarmizi Abdul Aziz, Ketua Dewan Ulama Sidek Nor, Timbalan Pengerusi DHPP Perak Sum Cheok Leng dan Ketua Pemuda DHPP negeri M Yougan.

Razman berkata, baki 16 lagi kerusi DUN akan ditandingi oleh Parti Cinta Malaysia (PCM), sekutu PAS dalam Gagasan Sejahtera (GAGASAN).

Menurutnya, calon PAS terdiri daripada pelbagai latar belakang seperti golongan muda, ulama, profesional dan muslimat.

Katanya, PAS akan mengemukakan manifesto berasingan untuk negeri Perak yang akan merangkumi pelbagai aspek termasuk tadbir urus baik, kebajikan, infrastruktur, orang kurang upaya (OKU) dan ekonomi, manakala setiap kawasan Parlimen atau DUN juga akan menawarkan manifesto masing-masing.

“PAS juga akan bertanding di 19 daripada 24 kerusi Parlimen di Perak dengan baki lima kerusi Parlimen akan ditandingi parti sekutu dalam GAGASAN sama ada PCM, Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) atau Barisan Jemaah Islamiah Semalaysia (BERJASA),” katanya.

Mengenai dakwaan Pakatan Harapan (PH) bahawa PAS dan GAGASAN menjadi ‘pengacau’ dalam PRU-14, Razman berkata, mereka juga boleh mengatakan bahawa PH sebenarnya mengacau hasrat PAS dan sekutunya untuk menumbangkan Barisan Nasional (BN).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Mac 2018 @ 7:32 PM