BENDERA parti politik yang bertanding pada PRU14 menghiasi Bulatan Dataran 1Malaysia di Klebang, Melaka. FOTO Rasul Azli Samad
BENDERA parti politik yang bertanding pada PRU14 menghiasi Bulatan Dataran 1Malaysia di Klebang, Melaka. FOTO Rasul Azli Samad
Nadia Hamid dan Fahmy Azril Rosli


IBU segala pilihan raya yang bermula dengan pengumuman senarai penamaan calon hari ini, bakal menyaksikan sekurang-kurangnya 46 daripada 222 kerusi Parlimen di seluruh negara akan mencetuskan fenomena ‘kerusi tumpuan’.

Kerusi tumpuan adalah kerusi menampilkan calon ‘heavyweight’ yang menjadi bualan ramai termasuk calon menang majoriti tipis kurang 3,000 undi pada pilihan raya umum (PRU) lalu, atau kawasan ditandingi veteran politik dengan pertembungan tiga penjuru atau lebih.

Pemerhati politik menjangkakan hampir pasti berlaku pertembungan sengit tiga penjuru di enam kerusi iaitu Parlimen Bentong (Pahang), Parlimen Iskandar Puteri (Johor Bharu), Parlimen Langkawi (Kedah), Parlimen Permatang Pauh (Pulau Pinang) dan Parlimen Teluk Intan (Perak).

Di Bentong, Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai yang menang majoriti 379 undi dijangka berdepan saingan seteru lamanya Wong Tack (calon DAP) yang mewakili PKR dan N Balasubramaniam (PAS).

Di Iskandar Puteri, Johor Bahru, pemimpin utama DAP Lim Kit Siang akan bertanding mempertahankan kerusi itu yang sebelum ini dikenali sebagai Parlimen Gelang Patah dan dicabar anak tempatan yang juga Pengerusi MCA Gelang Patah Datuk Teoh Sew Hock (juga dikenali Jason Teoh).

Pada PRU-13, Kit Siang menang dengan majoriti 14,762 undi menewaskan bekas Menteri Besar Johor Tan Sri Abdul Ghani Othman di kawasan yang majoriti adalah pengundi Cina.

Di Pagoh, penyandangnya Tan Sri Muhyiddin Yassin yang memenangi kerusi itu atas tiket Barisan Nasional (BN), dan kini bertanding sebagai Presiden PPBM, ditentang bekas anak didiknya yang pernah menjadi pegawai khasnya, Ismail Mohamed yang juga penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Kepong.

Anak Ketua Dewan Ulamak PAS Datuk Mahfodz Mohamed iaitu Ahmad Nawfal juga akan bertanding di kerusi sama. Pada PRU-13, Muhyiddin menang dengan majoriti 12,842 undi.

Di Permatang Pauh, anak sulung keluarga dinasti, Nurul Izzah Anwar yang bertukar kerusi dari Parlimen Lembah Pantai akan bertembung Datuk Mohd Zaidi Mohd Said (BN) dan Ketua Dewan Pemuda PAS Pulau Pinang Afnan Hamimi Taib Azamudden.

Pencalonan Nurul Izzah di kubu kuat PKR sejak 1999 itu, menggantikan ibunya, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Di Teluk Intan, Perak, Presiden GERAKAN Datuk Seri Mah Siew Kiong yang pernah mengalahkan calon DAP Dyana Sofya Mohd Daud dengan majoriti 238 undi pada pilihan raya kecil pada 2014, bakal berdepan Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming.

Di Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad akan mencabar penyandangnya, Datuk Nawawi Ahmad dan Yang Dipertua PAS Langkawi, Zubir Ahmad.

Nawawi menang 11,861 undi mengetepikan calon PKR Ahmad Abdullah pada PRU13.

Sementara itu, penganalisis politik Dr Ainul Adzellie Hasnul ketika dihubungi meletakkan kerusi Parlimen Teluk Intan, Bentong, Johor Bahru, Kota Bharu dan Bandar Tun Razak sebagai kerusi yang bakal menjadi tumpuan pada PRU14.

Beliau berkata, kelima-lima kerusi itu bakal menyaksikan pertembungan gergasi.

“Misalnya di Teluk Intan, kawasan itu bakal ditandingi orang kuat parti komponen BN iaitu Siew Kiong dengan Kor Ming (penyandang Ahli Parlimen Taiping).

“Parlimen Bentong ditandingi Tiong Lai yang juga penyandang kerusi berkenaan akan bertemu dengan seteru lamanya daripada DAP, Wong Tack pada PRU nanti. PAS pula mencalonkan Pengerusi Dewan Himpunan Penyokong PAS Pusat (DHPP) N Balasubramaniam.

“Kota Bharu pula berlaku pertandingan tiga penjuru antara Fikhran Hamshi, anak kepada Tan Sri Mohamad Fatmi Che Salleh Fatmi (BN) mewarisi kerusi yang gagal ditawan bapanya, (pengerusi pakatan pembangkang Kelantan) Husam Musa dan (Setiausaha Agung PAS), Datuk Takiyuddin (PAS) yang juga penyandang kawasan itu,” katanya.

“Di Parlimen Bandar Tun Razak pula menyaksikan pertembungan antara Datuk Kamaruddin Jaafar (PKR), Dr Rosni Adam (PAS) dan Adnan Seman (BN) yang dilihat sebagai calon pengganti (Ketua UMNO Bandar Tun Razak) Datuk Rizalman Mohkhtar,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 April 2018 @ 12:10 AM