ABDUL Hadi (tengah) bersama pemimpin tertinggi PAS selepas ucapan perasmian Himpunan Gelombang Hijau PRU-14 di Seri Iskandar, malam ini. FOTO L Manimaran
ABDUL Hadi (tengah) bersama pemimpin tertinggi PAS selepas ucapan perasmian Himpunan Gelombang Hijau PRU-14 di Seri Iskandar, malam ini. FOTO L Manimaran
Shaarani Ismail


PAS mengumumkan tiga pemimpin pusatnya bertanding di dua kerusi Parlimen dan satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Perak.

Naib Presidennya, Idris Ahmad akan bertanding mengekalkan kerusi Parlimen Bukit Gantang manakala Ahli Jawatankuasa PAS Pusat yang juga Ketua Dewan Muslimat PAS Perak, Dr Najihatussalehah Ahmad bertanding di Parlimen Parit dan Bendahari PAS Pusat yang juga Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria bertanding di DUN Gunung Semanggol.

Pengumuman dibuat Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang ketika menyampaikan amanat pada Himpunan Gelombang Hijau Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) di Seri Iskandar, malam ini.

Pada majlis itu, Abdul Hadi turut mengumumkan Ketua Penerangan PAS Bagan Datuk, Ata Abdul Munim Hasan Adli sebagai calon di kerusi Parlimen Bagan Datuk.

Abdul Hadi pada sidang media selepas itu berkata, PAS menyasarkan untuk mengekalkan kerajaan PAS Kelantan pada PRU kali ini, selain menawan semula Terengganu dan Kedah serta menang di Perak dan Selangor.

“Selain itu, PAS perlu mempunyai kerusi di setiap negeri.

“Ketika ini PAS ada wakil di semua negeri kecuali Negeri Sembilan, Sabah dan Sarawak,” katanya.

Beliau turut mengumumkan PAS akan bertanding di 160 kerusi Parlimen di seluruh negara yang akan diwakili PAS dan rakan dari Gagasan Sejahtera yang akan menggunakan bendera PAS pada PRU kali ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 April 2018 @ 12:55 AM