Pesuruhjaya PAS Kedah, Dr Ahmad Fakhruddin (duduk tengah) ketika sidang media di Majlis Rumah Terbuka PAS di Kompleks PAS Kedah.Foto Noorazura Abdul Rahman. FOTO Noorazura Abdul Rahman
Pesuruhjaya PAS Kedah, Dr Ahmad Fakhruddin (duduk tengah) ketika sidang media di Majlis Rumah Terbuka PAS di Kompleks PAS Kedah.Foto Noorazura Abdul Rahman. FOTO Noorazura Abdul Rahman
Meor Riduwan Meor Ahmad


PAS Kedah hari ini secara rasmi mengumumkan parti itu akan bertanding di semua 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan 15 kerusi Parlimen Kedah pada Pilihan Raya UMUM (PRU) ke-14.

Pesuruhjaya Pas Negeri Kedah,Dr Ahmad Fakhruddin Syeikh Fakhrurazi berkata, keputusan dibuat atas pertimbangan politik semasa berbeza daripada senario PRU lalu kesan penyisytiharan DAP bahawa Pakatan Rakyat berkubur serta tindakan PKR yang sering membelakangkan tahalluf siyasi menyaksikan muktamar sebulat suara memutuskan persefahaman politik antara kedua-dua parti.

Katanya, parti itu juga akan bertanding di kerusi berpotensi dan bukan majoriti pengundi Melayu berbanding sebelum ini.

"Menjadi tradisi PAS untuk meletakkan calon di kerusi majoriti Melayu menentang BN (Barisan Nasional), namun pada PRU ke-14 ini PAS cuba meneroka kerusi majoriti 60 peratus Melayu atau meletakkan calon DHPP (Dewan Himpunan Penyokong PAS) di kerusi yang berpotensi," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, pada PRU ke-13, PAS bertanding 24 kerusi DUN Kedah, iaitu dengan mengekalkan bilangan kerusi ditandingi pada pada PRU ke-12.

"Jumlah kerusi Parlimen Kedah yang ditandingi PAS pada 2008 dan 2013 pula adalah lapan kerusi.

"PAS Kedah juga bersedia untuk bertanding di 15 kerusi Parlimen dalam negeri ini.

"Keputusan muktamad mengenai jumlah kerusi yang akan ditandingi PAS Kedah bagaimanapun tertakluk kepada kehendak PAS Pusat berasaskan kajian yang sedang dilaksanakan oleh pihak berkenaan dengan mengambil kira kewujudan blok Gagasan Sejahtera," katanya.

Sehubungan itu, beliau mahu jentera pilihan raya PAS kawasan merintis semula kerusi DUN dan Parlimen yang ditandingi oleh rakan parti politiknya sebelum ini bagi membuat persiapan rapi dalam meraih sokongan rakyat.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Julai 2017 @ 3:37 PM