RAKAMAN CCTV menunjukkan gelagat kumpulan pencuri menyeluk beg mangsa di pusat beli-belah.
RAKAMAN CCTV menunjukkan gelagat kumpulan pencuri menyeluk beg mangsa di pusat beli-belah.
Mohd Sabran Md Sani

Johor Bahru: Polis giat mengesan kumpulan yang menyamar sebagai pelanggan sebelum merompak barang berharga milik pengunjung di pusat beli-belah di Tebrau di sini.

Ia susulan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) memaparkan kejadian berkenaan yang tular di laman sosial Facebook (FB) sejak petang kelmarin.

Ketua Polis Johor Bahru Selatan (JBS) Asisten Komisioner Shahurinain Jais berkata, sehingga kini, tiga laporan diterima daripada individu dipercayai menjadi mangsa kumpulan berkenaan.

Menurutnya, mangsa mendakwa kehilangan beg duit ketika mengunjungi pusat beli-belah berkenaan.

“Bagaimanapun, mangsa tidak sedar bagaimana beg duit dan barang milik mereka hilang,” katanya di sini, semalam.

Beliau berkata, mana-mana individu yang menjadi mangsa jenayah itu perlu segera membuat laporan di balai polis berdekatan untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri,” katanya.

Berdasarkan rakaman CCTV berdurasi 27 saat, beberapa individu dipercayai mendalangi kegiatan curi di bangunan pusat beli-belah berkenaan.

Seorang lelaki dilihat menghampiri seorang wanita sebelum membuka beg sandang milik mangsa.

Seorang wanita cuba mengalihkan perhatian mangsa seperti bertanyakan sesuatu sebelum seorang lagi wanita cuba menutup perlakuan lelaki terbabit dengan fail.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Mac 2018 @ 9:57 AM