MANGSA ditemui mati selepas jatuh dari tingkat lima pusat beli-belah di Ipoh. FOTO ihsan pembaca
MANGSA ditemui mati selepas jatuh dari tingkat lima pusat beli-belah di Ipoh. FOTO ihsan pembaca
Muhammad Apendy Issahak


GURU wanita yang dipercayai mengalami kemurungan dan tekanan ditemui mati selepas jatuh dari tingkat lima pusat beli-belah di Ipoh, hari ini.

Dalam kejadian 3.50 petang itu, Liew Kit Mooi, 36, ditemui di kawasan berhampiran laluan kereta pusat beli-belah berkenaan dalam keadaan terlentang oleh orang awam yang kemudian menghubungi polis.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby berkata, hasil siasatan awal tidak menemui unsur jenayah di lokasi kejadian dan terdapat saksi yang melihat wanita terbabit terjun dari tingkat lima bangunan berkenaan.

"Pemeriksaan terhadap mayat tidak menemui apa apa elemen berunsur jenayah dan mangsa dipercayai terjun dari tingkat lima dan jatuh terlentang serta meninggal dunia di tempat kejadian.

"Barang mangsa seperti beg duit dan rantai tangan juga tidak terusik," katanya ketika dihubungi di Ipoh, hari ini.

Menurutnya, saksi kejadian yang juga pengawal keselamatan pusat beli-belah terbabit mendakwa melihat wanita berkenaan di tingkat lima bangunan terbabit dan menegurnya supaya tidak berlegar dikawasan itu, tetapi mangsa kemudian terus terjun.

"Suami mangsa turut hadir ditempat kejadian dan mengesahkan mendiang mengajar di sekolah di Pasir Puteh, serta pernah mengalami kemurungan.

"Difahamkan mangsa yang mempunyai dua anak dan menetap di Pengkalan Tiara, di sini baru minggu lalu mendapat rawatan di hospital dan pada hari ini, selepas tamat sekolah menghantar anak ke kelas tambahan sebelum ke pusat beli-belah berkenaan," katanya.

Mohd Ali berkata, suami mangsa juga tidak menyalahkan mana-mana pihak dan percaya mangsa mengalami tekanan teruk serta tidak dapat menerima beban kerja yang banyak selepas mengalami kemurungan.

"Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk dibedah siasat yang akan diadakan esok," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Julai 2018 @ 9:46 PM