Muhammad Hafizi Seman (berbaju kemeja T berwarna hitam, berseluar pendek dan menyembunyikan muka) dibawa polis masuk ke Kompleks Mahkamah Kangar. FOTO Aizat Sharif
Muhammad Hafizi Seman (berbaju kemeja T berwarna hitam, berseluar pendek dan menyembunyikan muka) dibawa polis masuk ke Kompleks Mahkamah Kangar. FOTO Aizat Sharif
Aizat Sharif


Kangar: Seorang penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas dua pertuduhan memiliki pistol dan 50 butir peluru di kebun getah di Padang Besar Oktober lalu.

Muhammad Hafizi Seman, 22, mengangguk faham dan minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Musyiri Peet.

Berdasarkan pertuduhan pertama, dia didakwa memiliki sepucuk pistol jenis Beretta PX4 Storm di kebun getah Kampung Kolam, Padang Besar pada 26 Oktober lalu jam 12.10 tengah hari.

Oleh itu, tertuduh didapati melakukan kesalahan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang membawa hukuman penjara sehingga 14 tahun serta enam kali sebatan sekiranya sabit kesalahan.

Muhammad Hafizi turut berdepan pertuduhan kedua kerana memiliki 50 butir peluru 9 milimeter di lokasi dan waktu yang sama seperti pertuduhan pertama.

Oleh itu tertuduh didapati melakukan kesalahan mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 dimana boleh dipenjara tidak lebih tujuh tahun atau denda tidak lebih RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dilaksanakan oleh Timbalan Pendakwa Raya negeri, Nabilah Ahmad Poad manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian menetapkan 12 Disember hadapan bagi sebutan semula kes serta lantikan peguam bagi tertuduh.

Sementara itudalam prosiding berasingan di Mahkamah Majistret pula, Muhammad Hafizi turut dituduh mengedar dadah berbahaya jenis kanabis di Padang Besar pada pada tarikh sama.

Tertuduh hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Ana Rozana Mohd Nor.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Muhammad Hafizi didapati mengedar dadah berbahaya seberat 70 kilogram di kawasan kebun getah Kampung Kolam berhampiran Kawasan Perindustrian BNB, Padang Besar pada 26 Oktober lalu jam 12.15 tengah hari.

Oleh itu tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan tidak kurang 12 sebatan.

Pendakwaan dilaksanakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Atikah Ab Rashid manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 16 Februari hadapan sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia.

Pada 1 November lalu, Ketua Polis Perlis, Datuk Muhammad Abdul Halim mengumumkan kejayaan polis membanteras aktiviti penyeludupan dadah ke negara ini melalui pagar sempadan Malaysia-Thailand selepas merampas 70 ketulan mampat ganja bernilai RM 217,000 serta sepucuk pistol automatik jenis Beretta bersama 50 butir peluru dengan tertangkapnya empat lelaki di Padang Besar.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 November 2023 @ 2:55 PM