Muhammad Apendy Issahak


SEORANG juruhebah sebuah stesen radio di Ipoh didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar, hari ini atas pertuduhan memiliki pistol dan peluru ketika ditahan polis dalam pemeriksaan jalan raya di Sungai Siput, minggu lalu.

Tertuduh, Abdul Aziz Mohamed Desa, 47, didakwa dengan dua pertuduhan membabitkan satu kes memiliki sepucuk pistol jenis Walther semi auto buatan Jerman dengan nombor siri 287113 dan satu lagi kes memiliki tujuh butir peluru.

Bagi kes pertama, dia dituduh memiliki pistol berkenaan di Kilometer 28 Kampung Bahagia, Sungai Siput Utara, pada 8.30 pagi Jumaat lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (penalti lebih berat) 1971 dan jika sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan disebat tidak kurang enam sebatan.

Tuduhan kedua, juruhebah berkenaan didakwa mengikut Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960 kerana memiliki tujuh peluru pada waktu dan tempat sama.

Sabit kesalahan dia boleh dihukum penjara maksimum tujuh tahun atau dikenakan denda tidak lebih RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Abdul Aziz yang tidak diwakili peguam bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan dan minta dibicarakan.

Pertuduhan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Hasyutantee Khalil di hadapan Hakim Rohaida Ishak.

Pihak pendakwaan kemudian mencadangkan jaminan sebanyak RM10,000 terhadap tertuduh dengan seorang penjamin bagi dua tuduhan berkenaan.

Abdul Aziz dalam rayuannya memohon mahkamah membenarkan jaminan minimum kerana tidak mempunyai pekerjaan tetap dan perlu menanggung enam anak yang semuanya masih bersekolah.

Rohaida kemudian menetapkan jaminan RM8,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin dan 1 Jun ini sebagai sebutan semula kes dan pelantikan peguam bagi tertuduh serta serahan dokumen.

Terdahulu sebelum prosiding pendakwaan bermula keadaan dalam mahkamah menjadi sayu apabila beberapa ahli keluarga tertuduh menangis termasuk bapanya sebaik Abdul Aziz dibawa masuk ke kandang tertuduh.

Pada 26 April lalu, laman portal berita NSTP melaporkan seorang juruhebah radio ditahan selepas didapati memiliki senjata api ketika pemeriksaan sekatan jalan raya di lampu isyarat Sungai Siput, Jalan Ipoh-Kuala Kangsar.

Berita berkaitan

'Deejay radio ditahan miliki pistol, peluru'

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Mei 2018 @ 1:08 PM
ABDUL AZIZ didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar, hari ini atas pertuduhan memiliki pistol dan peluru ketika ditahan polis dalam pemeriksaan jalan raya di Sungai Siput, bulan lalu. FOTO Abdullah Yusof
ABDUL AZIZ didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar, hari ini atas pertuduhan memiliki pistol dan peluru ketika ditahan polis dalam pemeriksaan jalan raya di Sungai Siput, bulan lalu. FOTO Abdullah Yusof