Francis Andin dan Hazsyah Abdul Rahman

Keningau: Polis menahan seorang lelaki warga asing selepas dipercayai tertembak lelaki tempatan ketika berburu di kawasan hutan di Kampung Salong, Nabawan, 50 kilometer dari sini, kelmarin.

Suspek berusia 55 tahun itu ditahan pada jam 1 pagi semalam di Kampung Salong susulan maklumat dan laporan diterima berhubung kematian mangsa berusia 40 tahun terbabit.

Susulan penahanan suspek, polis merampas selaras senjata api buatan sendiri jenis bakakuk dan satu kelonsong peluru dipercayai digunakan suspek ketika berburu.

 Ahmad  (tengah) menunjukkan senjata api dan peluru yang dirampas.
Ahmad (tengah) menunjukkan senjata api dan peluru yang dirampas.

Ketua Polis Daerah Keningau, Deputi Superintendan Ahmad Jawila berkata, mangsa ditemui mati dengan kesan tembakan pada dada, badan dan kepala dalam kejadian jam 9 malam kelmarin.

Katanya, ketika kejadian kedua-dua mangsa dan suspek yang juga kenalan di kampung terbabit keluar berburu secara berasingan.

“Ketika dalam kawasan hutan terbabit, suspek dipercayai tertembak mangsa kerana menyangka mangsa adalah haiwan buruan.

“Polis juga menemui selaras bakakuk dan tiga kelongsong peluru pada mangsa dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Februari 2018 @ 9:10 AM