Bakakuk. FOTO hiasan
Bakakuk. FOTO hiasan
Juwan Riduan


TIGA bersaudara termasuk dua pelajar ditahan kerana memiliki senapang jenis bakakuk yang disyaki digunakan untuk pemburuan haram di kawasan ladang Myvin 2, Telupid, di Beluran, semalam.

Dalam kejadian jam 4 petang itu, ketiga-tiga suspek lelaki berusia 16 hingga 19 tahun itu ditahan Pasukan Khas Jabatan Perhutanan Sabah, ketika membuat rondaan dan pemeriksaan di kawasan berkenaan selepas menerima aduan awam.

Difahamkan, ketiga-tiga suspek mempunyai tali persaudaraan yang mana dua daripada suspek masih sekolah di sebuah sekolah menengah di Telupid.

Ketua Polis Daerah Beluran Superintendan Kasim Muda berkata, selain senapang bakakuk dan empat butir peluru, pihaknya turut merampas sebilah parang daripada suspek.

"Senapang bakakuk itu disembunyikan dalam timbunan pelepah kelapa sawit di dalam ladang berkenaan manakala empat butir peluru hidup ditemui dalam beg dipegang seorang daripada suspek.

"Turut dirampas sebilah parang yang dipercayai digunakan untuk tujuan berburu," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Kasim berkata, tangkapan dan rampasan kemudian diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 January 2020 @ 6:28 PM