Senjata api buatan sendiri dan kelongsong peluru yang dirampas polis berkaitan kejadian tertembak rakan berburu di kawasan kebun Kampung Sunsuron, Tambunan di Keningau, kelmarin. Foto Ihsan PDRM
Senjata api buatan sendiri dan kelongsong peluru yang dirampas polis berkaitan kejadian tertembak rakan berburu di kawasan kebun Kampung Sunsuron, Tambunan di Keningau, kelmarin. Foto Ihsan PDRM
Juwan Riduan

Keningau: Lelaki maut dipercayai tertembak oleh rakannya ketika berburu di kawasan kebun Kampung Sunsuron, Tambunan di sini, kelmarin.

Dalam kejadian pada 5 petang itu, mangsa berusia 20 tahun maut di tempat kejadian akibat beberapa kesan tembakan di badannya.

Ketua Polis Daerah Keningau Deputi Superintendan Shahrudin Mat Husain berkata, mangsa dan rakannya yang juga suspek berusia 25 tahun melakukan aktiviti berburu di kawasan berkenaan.

"Mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Tambunan untuk proses bedah siasat," katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, pada hari yang sama dan bertindak atas maklumat, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Keningau menahan suspek terbabit.

Katanya, polis turut merampas selaras senjata api buatan sendiri jenis bakakuk, kelongsong peluru dan pakaian yang digunakan suspek dalam kejadian itu.

"Hasil semakan mendapati suspek adalah penganggur yang tidak mempunyai sebarang rekod jenayah.

"Suspek direman selama enam hari bagi tujuan siasatan. Siasatan menyeluruh sedang dijalankan dan mana-mana saksi diminta tampil untuk membantu siasatan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati," katanya.

Sementara itu, Shahrudin menasihatkan penduduk setempat agar mengambil iktibar daripada kejadian itu.

"Aktiviti memburu secara haram dan pemilikan senjata api buatan sendiri jelas melanggar undang-undang yang boleh mendatangkan kecederaan sehingga meragut nyawa.

"Polis sentiasa peka dan mengalu-alukan sebarang maklumat awam untuk membanteras kegiatan ini bagi menjamin keselamatan dan kesejahteraan masyarakat terutama di kawasan luar bandar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Ogos 2021 @ 11:52 AM