ZAINI (dua dari kanan) bersama Mohd Hamizi (kanan) ketika sidang media di IPK Sabah. FOTO Juwan Riduan
ZAINI (dua dari kanan) bersama Mohd Hamizi (kanan) ketika sidang media di IPK Sabah. FOTO Juwan Riduan
Juwan Riduan


SEORANG lelaki yang keluar memburu di kawasan hutan Kampung Romokon, Kiulu, di Kota Kinabalu, tertembak bapa saudaranya sendiri yang berusia 70 tahun, kelmarin.

Dalam kejadian jam 6 petang itu, lelaki berusia 49 tahun dikatakan melepaskan tembakan selepas menyangka mangsa adalah haiwan buruan.

Namun, sebaik memeriksa objek yang ditembak, lelaki terbabit terkejut apabila mendapati tembakan itu sebenarnya terkena bapa saudaranya sendiri.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Zaini Jass berkata, suspek kemudiannya membawa mangsa balik ke rumahnya dengan bantuan penduduk kampung sebelum dihantar ke Hospital Tambunan.

Katanya, hasil siasatan, mangsa mengalami kecederaan di bahu, kepala dan paru-paru serta patah tulang rusuk.

"Mangsa kemudiannya dirujuk ke Hospital Keningau untuk rawatan lanjut kerana memerlukan bantuan pernafasan.

"Siasatan juga mendapati, senapang yang digunakan adalah bakakuk buatan sendiri yang diwarisi suspek daripada arwah bapanya," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, Kota Kinabalu, hari ini.

Hadir sama, Ketua Polis Daerah Tuaran, Deputi Superintendan Mohd Hamizi Halim.

Zaini berkata, suspek juga mengaku tidak memiliki lesen senjata api dan membeli peluru daripada kenalannya di Penampang dengan harga RM150 sekotak.

Katanya, siasatan turut mendapati suspek dan mangsa keluar memburu secara berasingan tetapi pada waktu yang sama.

"Siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 37 dan Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960.

"Senapang bakakuk dan peluru serta peralatan lain yang dipakai ketika kejadian dirampas bagi membantu siasatan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Ogos 2020 @ 7:45 PM