FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
Nur Afiradina Arshad


IDENTITI lelaki warga asing yang dipercayai membunuh wanita dalam bilik hotel di Balakong, akan diperoleh berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) hotel berkenaan.

Setakat ini, usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan berdasarkan maklumat dan petunjuk yang ada.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yusoff berkata, siasatan awal menunjukkan kemungkinan terdapat pergelutan antara mangsa dan suspek semasa dalam bilik berkenaan.

“Berdasarkan bedah siasat hari ini, mangsa tidak dirogol, namun kita percaya wujud elemen pergelutan hingga menyebabkan kematiannya.

“Selain itu, siasatan awal mendapati wanita terbabit dipercayai adalah warga asing selepas tiada tanda suntikan BCG ditemui pada lengannya,” katanya ketika ditemui hari ini.

Ahmad Dzaffir berkata, pasangan itu mendaftar masuk di hotel di Jalan Kasturi 3, Balakong, itu pada 8.20 malam 4 Februari lalu sebelum suspek dikesan menyambung semula penginapan untuk tempoh satu malam lagi pada jam 9.20 pagi keesokannya.

“Tidak lama selepas membayar penginapan untuk sehari lagi, suspek dikesan meninggalkan terus hotel berkenaan.

“Justeru kita tidak menolak kemungkinan kejadian bunuh itu berlaku antara waktu pasangan itu mendaftar masuk sehingga pagi dia menyambung semula penginapannya,” katanya.

Beliau berkata, pada masa ini, polis masih mengumpul beberapa bukti lain termasuk merakam percakapan beberapa saksi yang melihat suspek.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Februari 2018 @ 10:04 PM