Fazrik Kamarudin


SIASATAN awal polis mendapati tiada unsur jenayah dalam kemalangan yang meragut nyawa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balakong, Ng Tien Chee, tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, setakat ini tiada sebarang bukti menunjukkan ada unsur sabotaj atau khianat dalam kemalangan itu.

"Saya berada di lokasi awal pagi tadi. Berdasarkan maklumat daripada pegawai penyiasat dan pemerhatian saya, tiada tanda kemalangan mempunyai unsur jenayah.

"Dakwaan mengatakan ada minyak di atas jalan ini tidak benar.

"Hasil soal siasat ke atas seorang saksi yang menyaksikan kemalangan terbabit, kereta yang dipandu Tien Chee cuba memotong kenderaannya yang sedang dipandu di lorong tengah.

"Kita percaya selepas memotong kereta saksi, Tien Chee tidak sempat mengelak lori yang sedang menjalankan kerja pembersihan jalan di lorong kanan lalu terlanggar bucu kiri lori terbabit," katanya ketika ditemui di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) di Kuala Lumpur, hari ini.

Tengah malam tadi, Tien Chee meninggal dunia dalam kemalangan di Lebuhraya Grand Saga, Cheras.

Ahmad Dzaffir Mohd Yusoff, dalam satu kenyataan berkata, kemalangan berlaku 12.40 tengah malam tadi di Kilometer 11. 7 lebuh raya berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Julai 2018 @ 2:05 PM