GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nor Azizah Mokhtar

MAYAT lelaki ditemui dalam keadaan terbaring dengan mulut dan hidungnya berbuih di sebuah bilik hotel di Dataran C180 Balakong di Kajang, pagi ini.

Mayat mangsa ditemui oleh seorang pekerja hotel jam 8.50 pagi sebelum melaporkannya kepada polis.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, rekod pihak hotel menunjukkan mangsa yang berusia 29 tahun mendaftar masuk ke hotel terbabit pada 4.33 pagi, semalam.

“Pemeriksaan mendapati tiada sebarang kecederaan pada tubuh badan mangsa kecuali terdapat buih pada hidung dan mulutnya.

“Pemeriksaan di lokasi kejadian turut tidak menemui sebarang senjata yang boleh digunakan untuk mencederakan mangsa," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, semakan mendapati mangsa tidak mempunyai sebarang rekod jenayah atau dalam senarai dikehendaki oleh polis.

“Mayat kemudian dihantar ke Hospital Serdang untuk proses bedah siasat.

"Buat masa ini, kita sedang mengesan keluarganya bagi tujuan pengecaman mayat," kata.

Beliau berkata, kes itu diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Ogos 2018 @ 4:11 PM