Mangsa cedera pada muka dan badan. FOTO Ihsan Pembaca
Mangsa cedera pada muka dan badan. FOTO Ihsan Pembaca
Nurul Hidayah Bahaudin

nurul.hidayah @hmetro.com.my

LELAKI yang terbabit dalam insiden pergaduhan di hadapan deretan kedai di Jalan Dataran Cheras 2, Cheras Traders, Balakong, Kajang malam tadi ditahan polis hari ini.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, lelaki berusia 44 tahun itu ditahan di Taman Putri Jaya, Batu 9 Cheras, 4.20 petang tadi.

“Hasil maklumat anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang membuat serbuan di lokasi terbabit sebelum menahan suspek.

“Soal siasat awal mendapati suspek mengaku terbabit dengan kes yang disiasat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Dzaffir berkata, berdasarkan keterangan mangsa, insiden berpunca rasa tidak puas hati berkaitan potong barisan ketika keluar simpang.

“Pemeriksaan Hospital Kajang mendapati mangsa mengalami kecederaan pada bahagian muka dan badan.

“Mangsa disahkan patah pergelangan tangan kanan serta retak tulang muka dan hidung,” katanya yang memaklumkan suspek akan direman esok.

Terdahulu, Ahmad Dzaffir memaklumkan pihaknya menerima dua rakaman video tular melalui Whatsapp 12.20 tengah hari tadi yang memaparkan seorang lelaki berlumuran darah akibat dipukul lelaki lain.

Kes disiasat mengikut Seksyen 323/160 Kanun Keseksaan atas kesalahan mencederakan dan bergaduh.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Jun 2019 @ 7:16 PM