AMIRUL Mukminin (kanan) melayan pelanggan yang membeli barang jualannya.
AMIRUL Mukminin (kanan) melayan pelanggan yang membeli barang jualannya.
Hazira Ahmad Zaidi

Kota Bharu: Rutin hariannya bermula seawal jam 6.30 pagi dengan ke pasar utama di bandar ini bagi mengambil bekalan ikan dan sayur-sayuran.

Kemudian bekalan itu diangkut dengan van kecilnya sebelum dipandu ke serata kampung untuk diniagakan.

Amirul Mukminin Asmadi, 23, tidak segan melakukan pekerjaan itu kerana ia tetap dianggap pekerjaan murni bagi graduan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Machang ini berbanding menganggur.

Kata pemegang Diploma Sains Komputer itu, dia biasanya mengambil bekalan barangan basah dan kering di Pasar Wakaf Che Yeh dan Pasar Teman di Pusat Transformasti Luar Bandar (RTC), di sini.

“Sudah enam bulan saya menjual dengan cara begini dan saya pusing kampung sekitar Kota Bharu, manakala pelanggan saya suri rumah yang tidak dapat ke pasar.

“Saya menyenangkan mereka untuk mendapatkan barang keperluan. Ketika mula-mula buat bisnes ini, memang susah sikit kerana tidak ramai kenal saya dan mereka juga tidak biasa beli barang keperluan daripada van begini.

“Ramai yang senang ke pasar, namun selepas sebulan, ramai yang biasa dengan saya dan pelanggan pun sudah ramai. Barang yang saya ambil semuanya segar dan memenuhi kehendak mereka,” katanya ketika ditemui di Kampung Lundang.

Menurut anak sulung daripada tujuh beradik itu, dia mula menjaja sedemikian pada Julai tahun lalu, menggantikan tempat adiknya, Amirul Hafiz, 19, yang kini melanjutkan pengajian di Universiti Sultan Zainal Abidin.

“Sebelum ini, hampir dua bulan Amirul Hafiz menjaja sendirian menggunakan van yang dibeli ayah (Asmadi Hussin, 49). Ia sebenarnya untuk isi masa terluang kami dan dilakukan ketika cuti semester.

“Namun, selepas Amirul Hafiz memasuki semester baru, ayah cadangkan saya ambil alih tempatnya dan kini saya jadikan aktiviti ini sebagai rutin harian saya,” katanya yang memberitahu ayahnya pensyarah di Kolej Vokasional Pasir Mas, membantu mengeluarkan modal permulaan untuknya berniaga.

Amirul Mukminin berkata, ibunya Aira Mustaffa, 46, juga memberi sokongan penuh kepada kerjaya itu, malah dia berbangga apabila hasil jualannya dapat membantu keluarga.

Dalam sehari, dia memperoleh pendapatan bersih sehingga RM200 dan percaya Allah akan mengurniakan rezeki melimpah ruah kepada mereka yang rajin berusaha.

“Saya tidak pernah berasa segan dengan kerja menjual ikan ini walaupun kebanyakan graduan tidak berminat. Saya percaya rezeki Allah dan semuanya akan dipermudahkan.

“Daripada menganggur, sekurang-kurangnya saya mempunyai perkara berfaedah untuk dilakukan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Februari 2018 @ 4:29 AM