RAHMAN terpaksa menjaja sayur secara haram untuk menyara keluarganya di Malaysia.
RAHMAN terpaksa menjaja sayur secara haram untuk menyara keluarganya di Malaysia.
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: "Jika saya tidak menjual (berjaja), apa isteri dan anak-anak mahu makan?" luah seorang penjaja etnik Rohingya yang menjual sayur di sekitar Pasar Borong Kuala Lumpur, di sini.

Lelaki yang hanya mahu dikenali sebagai Rahman, 41, berkata, dia terpaksa menjual sayur bagi menyara isteri dan anak-anaknya sejak tiga tahun menetap di Malaysia.

"Saya tidak boleh kerja lain sebab pegang (pemegang) kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).

"Sebab itu, walaupun barang jualan selalu disita (pihak berkuasa), saya akan datang semula untuk berjual (berniaga) kerana itu satu-satunya punca pendapatan saya menyara keluarga.

"Saya perlu cari makan, bayar sewa rumah dan lain-lain. Jadi, saya mesti berniaga kerana tiada kerja lain boleh buat," katanya ketika ditemui di Pasar Borong Kuala Lumpur, di sini.

Rahman berkata, dia mengambil bekalan sayuran daripada pembekal di sekitar pasar borong berkenaan sebelum ia dijual semula kepada pembeli.

"Saya jual murah-murah saja. Cukup untuk belanja makan, minum dan sewa rumah," katanya.

Sementara itu, seorang lagi peniaga etnik Rohingnya yang hanya mahu dikenali sebagai Sultan, 48, dia menyedari tindakannya berjaja di sekitar Pasar Borong Kuala Lumpur dan Pasar Harian Selayang adalah satu kesalahan dari segi undang-undang.

"Saya tahu (berjaja) itu salah tapi apa saya boleh buat untuk hidup. Saya kena cari makan (wang) untuk anak dan isteri sebab kerja lain juga tidak boleh buat (tidak dibenarkan).

"Disebabkan itu, saya beli barang (jualan) di pasar ini dan jual semula kepada pembeli pada harga RM2 seikat bergantung kepada jenis sayur," katanya juga pemegang kad UNHCR.

Menurutnya, ramai antara pelarian berdaftar sepertinya terpaksa berdikari berikutan tiada pihak yang menyalurkan bantuan makanan, kediaman, pendidikan dan ubat-ubatan.

"Jika kami tidak bekerja, kami tidak akan mampu meneruskan kelangsungan hidup. Jadi kami akan bekerja menjaja sayur, mengutip besi buruk, buruh kerja buruh, memotong rumput, buruh kasar dan apa jua pekerjaan di Malaysia.

"Saya bersyukur rakyat Malaysia 'baik hati' dan boleh menerima kami. Masalah kami hanyalah pihak berkuasa tempatan yang akan mengambil tindakan jika mendapati kami menjaja di kaki lima.

"Kami bukan tidak mahu pulang ke negara asal. Namun ia ibarat menghantar nyawa berikutan junta tentera Myanmar mahu menghapuskan kewujudan bangsa kami di sana," katanya.

Berita berkaitan

Ali Baba, 'payung' punca lambakan

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Mei 2023 @ 2:32 PM