ANGGOTA PPM menunjukkan tujuh jalur bubu lipan.
ANGGOTA PPM menunjukkan tujuh jalur bubu lipan.
HM Digital

Johor Bahru: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua Johor merampas tujuh jalur bubu lipan dianggarkan bernilai RM1,000 yang dipasang di Parit Kedondong, Parit Jawa, Muar, kelmarin.

Komander PPM Wilayah Dua Johor, Asisten Komisioner Paul Khiu Khon Chiang berkata, tindakan dilakukan berikutan aduan awam berhubung tindakan nelayan pantai berkenaan yang menggunakan peralatan menangkap ikan tidak sah.

“Antara jam 12 hingga 1 tengah hari semalam (kelmarin), pasukan PPM Muar menjalankan operasi di kawasan pantai itu sebelum merampas bubu lipan yang tidak diketahui tuannya.

“Kami dapati bubu itu dipasang dan ditinggalkan sementara sebelum diangkat oleh nelayan berkenaan,” katanya.

Menurutnya, semua barang rampasan itu dibawa ke jeti PPM Muar untuk tindakan lanjut.

Katanya, segelintir nelayan masih menggunakan peralatan menangkap ikan yang tidak dilesenkan Jabatan Perikanan kerana kosnya lebih rendah dan mudah digunakan, tetapi mampu mengaut hasil lumayan.

“PPM sentiasa bekerjasama dengan masyarakat untuk mengekang aktiviti menyalahi undang-undang di perairan negara ini,” katanya.

Pada masa sama, Paul berkata, pihaknya merampas bot kayu bersama muatan pelbagai saiz kayu bakau di Pantai Bakau Sungai Tiram Duku, Gelang Patah, pada jam 1 tengah hari kelmarin.

Menurutnya, dua lelaki dipercayai warga Indonesia berjaya melarikan diri ke dalam kawasan hutan bakau ketika polis menghampiri kawasan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 January 2018 @ 10:30 AM