ANGGOTA PPM    merampas   peralatan menangkap ikan  di Sungai Ayam Batu Pahat, Johor.
ANGGOTA PPM merampas peralatan menangkap ikan di Sungai Ayam Batu Pahat, Johor.
Mohamad Fahd Rahmat

Batu Pahat: Tujuh Bubu Kambam dirampas Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua dalam operasi yang dijalankan di perairan Sungai Ayam Batu Pahat, di sini, jam 10 pagi semalam.

Komander PPM Wilayah Dua Asisten Komisioner Paul Khiu Khon Chiang berkata, bertindak atas maklumat orang ramai, pihaknya ke lokasi berkenaan dan menemui peralatan menangkap ikan yang tidak sah serta dilesenkan Jabatan Perikanan bagi mengaut hasil laut secara haram.

“Ketika melakukan rondaan berjadual menerusi Ops Gelora, Botronda PSC 43 PPM Muar diketuai seorang pegawai bersama tiga anggota pergi ke lokasi dan merampas tujuh Bubu Kambam di kawasan laut di Sungai Ayam Batu Pahat.

“Ketika dirampas, kami dapati bubu itu tidak bertuan dan terus dibawa ke Jabatan Perikanan untuk tindakan selanjutnya mengikut Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Beliau berkata, bubu berkenaan diharamkan penggunaannya oleh Jabatan Perikanan kerana memusnahkan benih ikan dan udang.

“Sebarang aduan dan kecemasan di laut boleh dilaporkan di talian 24 jam MERS 999,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 January 2018 @ 4:50 AM