Jabatan Perikanan Perak merampas 162 unit peralatan bubu naga bernilai RM16,200 dalam operasi di sekitar perairan Perak, semalam. FOTO IHSAN JABATAN PERIKANAN
Jabatan Perikanan Perak merampas 162 unit peralatan bubu naga bernilai RM16,200 dalam operasi di sekitar perairan Perak, semalam. FOTO IHSAN JABATAN PERIKANAN
Noor Hidayah Tanzizi


Manjung: Jabatan Perikanan Perak merampas 162 unit bubu naga bernilai RM16,200 dalam operasi di sekitar perairan Perak, semalam.

Ketua Pangkalan Utama Cawangan Perlindungan Sumber (CPS) Kampung Acheh, Mansor Yobe berkata, operasi dilakukan di perairan Tanjung Hantu dan Pulau Talang, Segari, dekat sini, bermula 7 September lalu.

Menurutnya, operasi dijalankan susulan aduan nelayan yang memaklumkan kawasan berkenaan masih terdapat aktiviti menangkap ikan menggunakan bubu naga.

"Pasukan operasi menemui 162 unit bubu naga yang setiap satu berukuran enam meter dipasang di lokasi rampasan dan dipercayai baharu saja dipasang individu yang belum dikenal pasti.

"Peralatan yang dirampas itu dibawa ke Jeti Perikanan Kampung Acheh, Sitiawan untuk siasatan mengikut Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mansor berkata, walaupun penggunaan bubu naga diharamkan, namun masih ada segelintir komuniti nelayan berdegil dan tetap menggunakan peralatan itu.

"Sepanjang tahun ini, CPS Kampung Acheh sudah merampas 1,389 unit bubu naga bernilai RM111,120 dan peralatan berkenaan banyak digunakan di perairan Pantai Remis," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 September 2020 @ 4:02 PM