ANGGOTA PPM menunjukkan pistol angin dan enjin sangkut yang dirampas dari bot dinaiki warga asing.
ANGGOTA PPM menunjukkan pistol angin dan enjin sangkut yang dirampas dari bot dinaiki warga asing.
Mohd Sabran Md Sani

Johor Bahru: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua Johor menahan tiga lelaki warga Indonesia selepas menemui sepucuk pistol angin dalam bot tukar barang dinaiki mereka di perairan Muar Rabu lalu.

Komandernya Asisten Komisioner Paul Khiu Khon Chiang berkata, ketiga-tiganya ditahan pada pemeriksaan ke atas bot yang membawa muatan kayu bakau di perairan itu jam 9.30 pagi.

“Ketika pemeriksaan dilakukan terhadap bot yang didaftarkan di Indonesia, anggota PPM Wilayah Dua Muar menemui pistol angin terbabit yang disimpan dalam beg sandang dibawa tekong bot.

“Seunit enjin sangkut turut ditemui dalam bot terbabit,” katanya semalam.

Menurut beliau, warga asing itu mendakwa enjin sangkut berkenaan dibawa untuk penyelenggaraan di negara ini.

“Berikutan penemuan dua barangan berkenaan, tiga lelaki berusia 27 hingga 57 tahun ditahan bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Akta Senjata 1960,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 September 2018 @ 9:57 AM