KEADAAN wanita yang ditemui mati di tempat duduk pemandu dalam kereta Kia Spectra, pagi tadi, di Persiaran Pulau Pinang, Jalan Meru, Klang. FOTO Ihsan Pembaca
KEADAAN wanita yang ditemui mati di tempat duduk pemandu dalam kereta Kia Spectra, pagi tadi, di Persiaran Pulau Pinang, Jalan Meru, Klang. FOTO Ihsan Pembaca
Amirul Aiman Hamsuddin


WANITA ditemui mati dalam kereta miliknya di Persiaran Pulau Pinang, Jalan Meru, Klang, 9.11 pagi hari ini.

Wanita berusia 34 tahun itu ditemui dalam kereta Kia Spectra oleh orang ramai yang melalui kawasan kejadian.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Pinang, Zaidi Atan berkata, sepasukan enam anggota dikejarkan ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan.

"Setibanya di lokasi, anggota mendapati mangsa terbaring di tempat duduk pemandu dalam keadaan tidak sedarkan diri dan semua pintu kereta berkunci.

"Anggota mengambil masa kira kira 15 minit membuka pintu kereta itu menggunakan alatan khas," katanya.

Menurutnya, mangsa yang berasal dari Bandar Botanik, Klang disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR).

Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Disember 2017 @ 6:55 PM