Kereta dan rotan yang dirampas. FOTO ihsan PDRM
Kereta dan rotan yang dirampas. FOTO ihsan PDRM
Faliq Lajim


DUA penjenayah ditahan tidak sampai 24 jam selepas menyamun seorang lelaki di Bandar Botanik, Klang pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, dalam kejadian jam 2 pagi itu, mangsa berusia 26 tahun berjalan menuju ke keretanya yang diletakkan di sebuah restoran di Bandar Botanik.

Beliau berkata, mangsa yang juga pengurus restoran berkenaan didatangi sebuah kereta Proton Waja dinaiki dua lelaki.

"Salah seorang suspek cuba menarik beg silang mangsa namun gagal.

"Bagaimanapun mangsa patah jari akibat dipukul dengan rotan," katanya hari ini.

Bertindak atas maklumat katanya, polis berjaya menjejaki dua suspek berkenaan pada jam 11.30 malam tadi di Jalan Gedung Raja Abdullah, Klang.

Katanya, suspek yang ditahan itu berusia 18 dan 28 tahun dan pihaknya merampas kereta Proton Waja yang dipercayai digunakan dalam kegiatan jenayah itu serta dua batang rotan.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 January 2018 @ 5:09 PM