SOFEA (dua dari kiri) dan Mohd Hadi kali pertama menjalani ibadah puasa.
SOFEA (dua dari kiri) dan Mohd Hadi kali pertama menjalani ibadah puasa.
Oleh Mohd Rafi Mamat

Kuantan: “Saya hampir pitam pada hari pertama puasa disebabkan terlalu lapar. Terlalu lama menunggu waktu Maghrib hingga menyebabkan saya hampir berbuka selepas mendengar azan Asar,” kata Sofea Hussin, 16, yang berkongsi pengalaman berpuasa kali pertama ketika mengikuti Program Pembangunan Tamadun Masyarakat Orang Asli (PETAMA), di sini.

Katanya, selepas lebih dua minggu menjalani ibadat puasa, dia tidak menghadapi banyak masalah malah semakin seronok dapat menunaikan kewajipan yang tidak pernah dilakukan sebelum ini.

Dia berkata, selepas lebih tiga bulan memeluk Islam, dia sudah diuji dengan ibadat puasa namun itu tidak sedikit pun menjejaskan keimanannya yang semakin menebal hasil didikan ustaz dan ustazah di PETAMA.

“Menunggu waktu berbuka saat paling seronok apabila saya dan rakan berkumpul, saya suka makan nasi ayam dan minum teh. Selepas makan kami menunaikan solat Maghrib secara berjemaah.

“Saya kini tidak sabar menjalani ibadat puasa bersama keluarga kali pertama di kampung selepas kami sama-sama memeluk Islam awal tahun ini,” katanya yang menetap di Kampung Langkap Ibam, Rompin.

Sofea ditemui dalam majlis penyerahan dermasiswa, zakat dan penyampaian sijil PETAMA yang disempurnakan Timbalan Yang Dipertua Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) Datuk Seri Wan Abdul Wahid Wan Hassan di Kompleks Yayasan Pahang Tanjung Lumpur, kelmarin.

Bagi Mohd Hadi Jamal, 21, pula tempoh dua hari latihan berpuasa sebelum Ramadan memberi kekuatan kepadanya menjalani ibadat puasa selepas memeluk Islam awal tahun ini.

Menurutnya, rasa lapar dan dahaga dihadapinya pada awal Ramadan saja namun selepas beberapa hari keadaan kembali normal tanpa menimbulkan masalah menjalani rutin harian seperti biasa.

“Sudah lama saya menunggu untuk berpuasa dan peluang kali pertama ini saya akan gunakan sebaik mungkin untuk membuktikan saya seorang Muslim sejati dan patuh kepada suruhan Yang Maha Esa.

“Selain menunaikan ibadat puasa saya juga membaca al-Quran dan mendalami ilmu agama, setiap hari juga saya berdoa semoga kedua ibu dan bapa termasuk adik perempuan terbuka memeluk Islam satu hari nanti,” katanya yang tinggal di Kampung Teresu, Cameron Highlands.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Julai 2015 @ 5:21 AM