Muhammad Riyardh Aidan (kiri) memulakan juadah berbuka puasa dengan kurma.
Muhammad Riyardh Aidan (kiri) memulakan juadah berbuka puasa dengan kurma.
Khairul Najib Asarulah Khan


Seremban: “Selepas sembilan tahun berpuasa, Ramadan kali ini sangat istimewa kerana saya akhirnya memeluk Islam,” kata Muhammad Riyardh Aidan Chua, 25, yang memeluk Islam 19 Januari lalu.

Anak sulung daripada dua beradik itu berkata, dia berpuasa penuh setiap kali Ramadan sejak berusia 16 tahun kerana tertarik dengan amalan dan ibadat umat Islam itu.

Katanya, minat terhadap Islam berputik sejak di sekolah kerana melihat gaya hidup ramai rakan yang menutup aurat, mempamerkan akhlak yang baik, menjaga pemakanan halal dan rajin menunaikan ibadat kerana Allah SWT.

“Di sekolah saya ada ramai kawan beragama Islam dan tertarik dengan gaya hidup mereka.

“Saya berpuasa penuh buat kali pertama kerana ingin menguji kemampuan diri sebelum berasa seronok melakukannya.

“Biasanya, rakan menghubungi saya untuk memberitahu waktu berbuka puasa ketika bersekolah dulu,” katanya.

Dia yang berasal dari Klang, Selangor berkata, kecintaannya terhadap Islam semakin bertambah ketika berusia 18 tahun apabila timbul keinginan untuk masuk ke dalam masjid apabila terdengar laungan azan.

“Setiap kali mendengar azan saya pasti berhenti bagi menghayatinya kerana jiwa rasa tenang.

“Ada rakan mahu membawa saya masuk ke masjid namun saya tidak berani kerana tidak tahu caranya dan berasa kekok,” katanya.

Menurutnya, dia dibesarkan neneknya di Klang kerana bapanya bekerja di luar negara manakala ibunya meninggalkan mereka sejak kecil.

“Pada awal tahun ini, saya dipindahkan ke tempat kerja baru di Seremban dan ketika itu saya bertekad memeluk Islam.

“Saya menghantar mesej kepada ayah menyatakan hasrat itu dan seperti dijangka, dia marah dan melarang pulang ke Klang malah enggan mengaku saya anaknya.

“Walaupun pahit untuk diterima, saya kuatkan hati menerima dugaan itu dan mengucap dua kalimah syahadah di Pejabat Agama Islam Port Dickson,” katanya.

Muhammad Riyardh Aidan berkata, keadaan berubah beberapa minggu kemudian apabila bapa dan keluarga akhirnya menerima keputusannya memeluk Islam.

“Ketika sambutan Tahun Baru Cina lalu, ayah tiba-tiba menghubungi saya dan bertanya kenapa tidak balik ke rumah dan mengarahkan pulang menyambut perayaan itu bersama keluarga.

“Sebaik tiba, ayah terus peluk saya dengan erat. Semua ahli keluarga juga tidak memarahi saya malah mereka memastikan semua hidangan yang disajikan pada sambutan itu halal.

“Saya bersyukur Allah SWT memakbulkan doa saya selama ini dan mengharapkan mereka turut memperoleh hidayah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Mei 2018 @ 9:35 AM