Siti Rohana Idris


“WALAU agama kita berlainan, jangan sesekali buang keluarga..itu pesan nenek yang akan saya ingat sampai bila-bila,” kata mualaf, Nur Syahidah Mas Achin.

Nur Syahidah Mas atau nama sebenarnya, Mas Achin, 27, berasal dari Sibu, Sarawak, sudah tiga tahun memeluk Islam dan kini sedang mendalami ilmu agama di Institut Dakwah Islamiah Perkim (IDIP), Pengkalan Chepa di Kota Bharu, sejak setahun lalu.

Nur Syahidah yang berketurunan Iban dan beragama Kristian sebelum ini memberitahu keputusannya memeluk Islam tidak dirujuk kepada keluarganya terlebih dahulu sebaliknya selepas sebulan mengucap dua kalimah syahadah, barulah dia memberanikan diri bersemuka dengan mereka.

“Sebelum ini saya bekerja di lapangan terbang di Labuan, Sabah, manakala keluarga menetap di kampung. Selepas sebulan mengucap dua kalimah syahadah, saya pulang ke kampung dengan berwajah baharu.

“Sebelum tiba di kampung, hati memang sangat takut dan bimbang kerana memikirkan bagaimana penerimaan keluarga melihat penampilan baharu saya yang berpakaian muslimah serta bertudung.

“Alhamdulillah, sebaik jejakkan kaki ke kampung, semua ahli keluarga terutama nenek yang membesarkan saya menerima dengan tangan terbuka walau pada mulanya agak terkejut,” katanya ketika ditemui di IDIP, di Kota Bharu, hari ini.

Nur Syahidah berkata, neneknya berpesan supaya tidak membuang keluarga walaupun sudah berlainan agama dan mengakui memendam hasrat untuk membimbing ahli keluarganya bagi memeluk Islam suatu hari nanti.

Menyingkap kembali bagaimana dia tertarik dengan Islam, Nur Syahidah berkata, persekitaran kerjanya yang banyak bergaul dengan rakan beragama Islam menambahkan niat untuknya mengenali Islam.

“Setiap kali ada rakan sekerja membeli tudung, saya akan turut membelinya. Pada Ramadan, saya juga berpuasa kerana mengikut perbuatan rakan beragama Islam.

“Niat untuk memeluk Islam sudah lama ada tapi saya takut jika dimarahi dan dibuang keluarga. Saya tidak sampai hati untuk melukakan nenek yang membesarkan saya selepas ibu meninggal dunia.

“Satu hari saya beritahu seorang rakan yang saya ingin memeluk Islam. Ketika itu perasaan seperti memaksa saya untuk memeluk Islam dengan segera dan Alhamdulillah, proses memeluk Islam dipermudahkan,” kata anak bongsu dari dua beradik itu.

Dalam tangisan, Nur Syahidah meluahkan rasa kesal dengan kehidupan lalunya yang jelas bertentangan dengan peraturan Islam terutama dari segi pergaulan dan penampilan.

Dia berkata sebelum memasuki IDIP, dia terlebih dahulu belajar Islam di sebuah pusat pengajian untuk saudara baharu di Sarawak dan bermula di situ dia mengetahui mengenai asas dalam Islam.

“Selain belajar solat dan bacaan al-Quran, saya juga mempelajari apa itu aurat wanita, ikhtilat (pergaulan), cara pemakaian dan jika diingat kembali kehidupan saya sebelum ini, banyak betul dosa yang dilakukan.

“Kini setiap hari selain berdoa semoga Allah mengampunkan segala dosa, saya juga memohon supaya terus istiqamah untuk mendalami Islam. Saya harap suatu hari nanti dapat pulang ke kampung untuk menyebarkan Islam kepada orang lain,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 January 2020 @ 10:39 AM
Nur Syahidah Mas (kanan) sedang membaca Al-Quran dan diajar Penolong Pendaftar Hal Ehwal Pelajar IDIP, Nor Saadah Md Hanafi@Md Zain di IDIP, Pengkalan Chepa. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Nur Syahidah Mas (kanan) sedang membaca Al-Quran dan diajar Penolong Pendaftar Hal Ehwal Pelajar IDIP, Nor Saadah Md Hanafi@Md Zain di IDIP, Pengkalan Chepa. FOTO Nik Abdullah Nik Omar