Keadaan kenderaan yang terbabit kemalangan. FOTO ihsan polis
Keadaan kenderaan yang terbabit kemalangan. FOTO ihsan polis
Mohd Hilmie Hussin


POLIS trafik dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah, patah tangan kiri selepas motosikal ditunggang terbabit kemalangan dengan sebuah kereta di Jambatan Jalan Syed Abdul Aziz, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik negeri Superintendan Mohd Sham Abdullah berkata, dalam kejadian 5.30 petang itu, Koperal Mazlan Abu Bakar, 56, sedang menunggang Honda CBX 750 dari arah persimpangan lampu isyarat Kota Syahbandar menuju ke pusat Taman Melaka Raya.

Beliau berkata, sebaik tiba di Jambatan Syed Abdul Aziz, mangsa cuba mengelak kereta di laluan motosikal sebelum terbabas dan melanggar belakang sebuah kereta model Smart Forfour dipandu seorang wanita.

"Akibat pelanggaran itu, mangsa patah tangan kiri. Bagaimanapun, kita belum dapat mengenal pasti nombor pendaftaran kereta yang menggunakan laluan motosikal hingga menyebabkan kejadian berlaku," katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, akibat perlanggaran itu juga, cermin belakang kereta milik kerani syarikat swasta itu pecah.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," kata Mohd Sham.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Disember 2017 @ 4:59 PM