KEADAAN kereta yang remuk. FOTO Ihsan Bomba
KEADAAN kereta yang remuk. FOTO Ihsan Bomba
Nuraliawati Sabri


Melaka: Lelaki warga emas maut selepas kereta dipandunya terjunam kira-kira 15 meter dari jambatan dalam kejadian di Jalan Syed Abdul Aziz, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian jam 9.20 pagi itu, mangsa Tan Chin Chee, 76, maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.

Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) negeri Superintendan Hasan Basri Yahya berkata, siasatan awal dijalankan mendapati sebelum kejadian mangsa dalam perjalanan dari persimpangan lampu isyarat Kota Syahbandar menghala ke Melaka Raya.

"Mangsa dipercayai hilang kawalan dari lorong kiri lalu masuk ke lorong bertentangan sebelum kereta Toyota Vios dipandunya terjatuh ke bawah jambatan.

"Siasatan di lokasi kejadian turut terdapat kesan calar selain rempuhan pada besi penghadang selain anggaran ketinggian dianggarkan kira-kira 15 meter," katanya.

Beliau berkata, mayat mangsa kemudian dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Melaka bagi proses bedah siasat selain kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

"Selain itu kereta mangsa juga turut ditahan untuk dihantar ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) untuk tindakan lanjut," katanya.

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Melaka Tengah, Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Abdul Rahim Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.26 pagi sebelum sebuah jentera bersama lapan anggota bergegas ke lokasi kejadian.

Menurutnya, setibanya di lokasi bomba mendapati terdapat seorang mangsa tersepit ditempat duduk pemandu dan disahkan sudah meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Disebabkan keadaan pintu keretanya yang remuk bomba terpaksa menggunakan alatan khas untuk membuka pintu kereta bagi mengeluarkan mangsa.

"Kerja mengeluarkan mangsa mengambil masa kira-kira 10 minit dan mayatnya kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Mac 2022 @ 1:14 PM