Nur Hamizah yang hilang lebih 50 hari.
Nur Hamizah yang hilang lebih 50 hari.
Amirul Aiman Hamsuddin


Sabak Bernam: “Walaupun lebih 50 hari menghilangkan diri, saya tidak pernah putus berdoa supaya dia pulang dalam keadaan selamat dan terus mencarinya,” kata Noor Hayati Ab Wahab, 48, ibu remaja perempuan berusia 18 tahun yang menghilangkan diri sejak 9 Oktober lalu.

Dalam kejadian jam 6.30 pagi, Nur Hamizah Abdul Rahman yang keluar dari rumahnya di Batu Dua, Sepintas di sini, meninggalkan nota memaklumkan ingin mencari ketenangan selain pergi ke rumah keluarga angkatnya di Perak.

Anak bongsu daripada tiga beradik itu hanya membawa MyKad dan tidak membawa telefon bimbit.

Noor Hayati berkata, dia sekeluarga kini buntu menjejaki lokasi Nur Hamizah di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur.

“Bagaimanapun, kami terus mencarinya termasuk dengan bantuan saudara- mara terdekat dan rakan.

“Kami cuma tidak mahu perkara tidak diingini berlaku kepada dirinya,” katanya kepada Harian Metro di sini, semalam.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai Nur Hamizah diminta menghubungi Noor Hayati di talian 017-6417021.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Disember 2017 @ 7:36 AM