MAT Amin gagal dikesan selepas keluar untuk mengisi minyak motosikal.
MAT Amin gagal dikesan selepas keluar untuk mengisi minyak motosikal.
Mohd Shukor Amin


Sabak Bernam: “Lebih setahun, dia tidak pernah bermalam di rumah, namun selepas tidur, baru-baru ini, dia terus hilang,” kata Saemah Ehsan, 69, isteri kedua kepada Mat Amin Omar, 75, yang dikhuatiri hilang sejak Ahad lalu.

Warga emas itu dikatakan keluar dari rumah isterinya di Kampung Hala Cara Baru, Sungai Panjang, di sini, untuk mengisi minyak motosikal jam 7.30 pagi, namun hingga kini dia gagal dikesan.

Menurut Saemah, suami yang dikahwini lebih 40 tahun lalu itu pada mulanya mahu bersarapan, namun kelihatan tergesa-gesa keluar untuk mengisi minyak.

“Saya sempat bertanyakan mahu ke mana dan dia memberitahu akan pulang semula ke rumah. Saya menunggunya hingga tengah hari, tetapi dia tidak muncul,” katanya ketika ditemui, semalam.

Katanya, kehilangan itu disedari selepas cucunya, Siti Hasmah Mohd Amir, 28, memberitahu ternampak kelibat suaminya menunggang motosikal bersendirian di Jalan Klang-Teluk Intan berhampiran lampu isyarat Stadium Sabak Bernam.

“Kami cuba mencarinya di merata tempat hingga Sungai Samak, Perak, tetapi gagal.

“Saya buntu, tetapi mendoakan dia sihat dan selamat,” katanya yang membuat aduan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam, Isnin lalu.

Menurutnya, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi cucunya, Endawati Mohd Amir, 26, di talian 019-2955190 atau balai polis berdekatan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Julai 2016 @ 9:17 AM