IHSAN Bomba dan Penyelamat Malaysia
IHSAN Bomba dan Penyelamat Malaysia
Iskandar Shah Mohamed


Sabak Bernam: Wanita maut manakala anak lelaki dan menantunya cedera selepas kereta dinaiki mereka terbabas ke dalam parit di Kilometer 58 Jalan Teluk Intan-Klang, di sini, hari ini.

Mangsa yang meninggal dunia akibat lemas itu dikenali sebagai Azizah Abdullah, 71, manakala dua mangsa lain adalah Mohd Kusairi Mokhtar, 32, dan Nor Hayati Noor, 42.

Jurucakap polis berkata, ketika kejadian empat sekeluarga termasuk anak tiri Mohd Khusari iaitu Muhammad Alif Haiqal Mohamad Jon, 9, menaiki Proton Saga Iswara sedang menuju ke arah Sabak Bagan Nira.

"Bagaimanapun, setibanya di tempat kejadian, kereta dipandu Mohd Kusairi memasuki lorong bertentangan, rempuh bongkah batu penghadang jalan dan terjunam ke dalam parit.

"Pemeriksaan lanjut mendapati Azizah yang duduk di belakang meninggal dunia di tempat kejadian. Dua mangsa lain yang parah dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah.

“Kanak-kanak itu pula yang hanya cedera dan dibawa ke Hospital Tanjong Karang," katanya.

Menurutnya, kemalangan itu masih dijalankan mengikut Seksyen 41 (1)(A) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Bagaimanapun, katanya, Mohd Kusairi dan anak tirinya sudah dibenarkan keluar daripada hospital, namun Nor Hayati yang juga ibu kanak-kanak itu masih menerima rawatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Oktober 2016 @ 7:33 PM