Kanak-kanak meniti jambatan yang dibina untuk keluar dari rumah di Kampung Lubok Gong berikutan limpahan air Sungai Golok. FOTO Fathil Asri
Kanak-kanak meniti jambatan yang dibina untuk keluar dari rumah di Kampung Lubok Gong berikutan limpahan air Sungai Golok. FOTO Fathil Asri
Mohamad Zulhairie Manzaidi


MANGSA banjir di Kelantan dan Terengganu akan diberikan layanan diraja di pusat pemindahan sementara (PPS) dalam usaha kerajaan mengubat kedukaan mereka selepas rumah ditenggelami air.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, pihaknya tidak mahu mangsa banjir berasa tidak selesa ketika di PPS.

"Sekiranya terdapat kelemahan dalam pengurusan pemindahan serta di PPS, mangsa diminta untuk suarakan kepada petugas supaya kita dapat memperbaiki kelemahan terutamanya dari segi makanan, tempat tinggal dan sebagainya.

"Kita akan lakukan yang terbaik untuk mangsa banjir kali ini. Sekiranya terputus hubungan dan memerlukan bekalan makanan tolong beritahu, pasukan penyelamat akan hantar," katanya ketika sidang media selepas melawat mangsa banjir di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Lati di Pasir Mas, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pengarah NADMA Datuk Abd Rashid Harun dan Timbalan Ketua Polis Kelantan Datuk Din Ahmad.

Menurutnya, bagi pengurusan bencana tahun ini, pihaknya sudah bersedia lebih awal dengan aset yang digunakan mencukupi termasuk di udara dengan bantuan polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

"Selain itu, kerajaan turut membuka bilik gerakan banjir di negeri ini dan dalam masa yang sama membuat pemantauan banjir di Terengganu.

"Kita sudah rancang lama dan agensi dari negeri lain juga turut dikerahkan dan saya berharap tidak ada masalah bagi menghadapi banjir tahun ini," katanya.

Katanya, pihaknya turut berharap badan bukan kerajaan (NGO) dapat menghulurkan bantuan.

"Kita sangat alu-alukan bantuan daripada NGO kerana bukan seluruh negeri yang terbabit dalam banjir kali ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 November 2017 @ 5:13 PM