Nor Fazlina Abdul Rahim


Pasir Mas: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bantuan awal RM50 juta untuk mangsa banjir di Kelantan.

Katanya, peruntukan daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) itu akan disalurkan terus kepada mangsa banjir.

"Bagi mangsa banjir yang berada di pusat pemindahan sementara (PPS), setakat ini kita luluskan peruntukan awal RM50 juta.

"Menerusi peruntukan berkenaan, setiap keluarga akan menerima RM1,000 dan tambahan bantuan lain bergantung kepada kerugian yang dialami mangsa banjir," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat PPS Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Lati, di sini, hari ini, yang turut dihadiri Menteri Besar Datuk Mohd Nassuruddin Daud dan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Mengulas lanjut, beliau turut berterima kasih kepada semua pihak sama ada jentera Kerajaan Pusat dan kerajaan negeri yang membantu mangsa banjir.

"Dengan kerjasama kedua-dua pihak ini menjadikan proses membantu mangsa banjir berjalan lancar demi keselesaan rakyat.

"Apa yang penting kita mahu redakan tekanan yang dialami rakyat akibat banjir," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Disember 2023 @ 3:11 PM
ANWAR (tengah) mengikuti perkembangan terkini Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok berhampiran Jambatan Lubok Jong, Pasir Mas. FOTO Bernama.
ANWAR (tengah) mengikuti perkembangan terkini Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok berhampiran Jambatan Lubok Jong, Pasir Mas. FOTO Bernama.