Datuk Mohammad Hamdan Wahid, hadir ketika sidang media pasca banjir di Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) di Taman Seri Muda, Shah Alam. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Datuk Mohammad Hamdan Wahid, hadir ketika sidang media pasca banjir di Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) di Taman Seri Muda, Shah Alam. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Raja Noraina Raja Rahim


Shah Alam: Terdapat segelintir mangsa banjir di Selangor enggan mematuhi nasihat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) supaya berpindah menyebabkan mereka terperangkap di rumah sebelum diselamatkan pasukan keselamatan itu.

Ketua Pengarah JBPM Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata, sebanyak 215 operasi pemantauan awal dilakukan di lokasi berisiko dinaiki air termasuk Taman Sri Muda, di sini.

Menurutnya, pihaknya turut menasihati penghuni segera berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

Katanya, kaedah paksaan tidak boleh digunakan sebaliknya hanya menasihati penghuni berdasarkan risiko semasa kawasan tertentu.

"Kita percaya ada penghuni yang bimbang keselamatan rumah, risiko jangkitan Covid-19 di PPS selain yakin bahawa banjir di kawasan mereka akan surut.

"Apabila anggota ke tempat lain, air naik mendadak di kawasan rumah mereka dan ketika itu bomba sudah berada di lokasi lain. Jadi ia mengambil masa untuk anggota kembali semula ke tempat mereka.

"Namun, kita tidak menafikan ada mangsa yang lambat mendapat bantuan disebabkan ada operasi di tempat lain. Ada rumah yang kita pergi nampak kosong, tapi sebenarnya ada penghuni di dalam, mungkin penghuni tak dengar dipanggil lalu anggota bergerak ke lokasi lain," katanya.

Beliau berkata dalam sidang media mengenai perkembangan banjir di Bilik Operasi Bencana Taman Sri Muda, di sini, hari ini.

Sebagai agensi keselamatan yang bertanggungjawab memastikan keselamatan komuniti, Mohammad Hamdan berkata, pihaknya tetap menghantar bantuan kepada mangsa yang tidak dipindahkan ke PPS seperti ditetapkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).

Katanya, anggota ditempatkan di pos kawalan akan membuat pemeriksaan keadaan penghuni di rumah termasuk memberikan bekalan makanan, minuman serta keperluan lain tanpa mengira bangsa serta agama.

Sementara itu, beliau menasihati badan bukan kerajaan (NGO) atau pihak tertentu yang berhasrat menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir supaya mendaftar di pos kawalan operasi bencana terlebih dahulu untuk tujuan penyelarasan keselamatan mereka.

"Terdapat NGO tidak pakar mengenai kawasan tertentu jadi agak berisiko. Jika mereka nak hantar bantuan, kita boleh bekalkan jaket keselamatan dan minta mereka tak pergi tempat dilanda banjir yang mungkin berisiko," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Disember 2021 @ 4:27 PM