Bom mortar yang tersangkut di jala. FOTO ihsan polis
Bom mortar yang tersangkut di jala. FOTO ihsan polis
Raja Noraina Raja Rahim


LELAKI yang menjala ikan di Sungai Kepayang, Seremban, malam semalam, terkejut apabila mengetahui objek tersangkut pada jala adalah bom mortar.

Ketua Polis Daerah Seremban Asisten Komisioner Thiew Hock Poh berkata, lelaki berusia 24 tahun terbabit membawa objek berkenaan ke Balai Polis Rahang, Seremban, kira-kira 7 malam.

Menurutnya, lelaki terbabit ternampak objek berkarat seakan bom tersangkut ketika menarik jala lalu membawanya ke balai untuk pengesahan.

“Pakar unit bom Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan dipanggil menjalankan siasatan dan mengesahkan ia adalah bom mortar berukuran 60 milimeter.

“Ia dipercayai digunakan dalam latihan untuk mengukur jarak pelancaran bom apabila disasarkan atau dilancarkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, bom berkenaan dibawa ke lokasi selamat untuk tindakan pemusnahan.

Thiew turut menasihati orang ramai sekiranya terjumpa objek menyerupai bom agar tidak mengalih dari tempat dijumpai kerana dikhuatiri masih aktif.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 November 2017 @ 1:11 PM