Keadaan tokong yang musnah selepas dibakar oleh suspek. FOTO Khairul Najib Asarulah Khan
Keadaan tokong yang musnah selepas dibakar oleh suspek. FOTO Khairul Najib Asarulah Khan
Khairul Najib Asarulah Khan


TINDAKAN seorang lelaki membakar sebuah tokong berusia 154 tahun di Temiang, Seremban, bagi menghapuskan bukti perbuatannya mencuri tabung, tidak berhasil apabila dia berjaya ditahan polis hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 4 pagi semalam, suspek yang berusia 24 tahun memasuki premis berkenaan untuk mencuri wang di dalam tabung sumbangan.

Suspek bagaimanapun menyedari perbuatannya itu dirakam kamera litar tertutup (CCTV) lalu bertindak membakar ruang pejabat di tokong berkenaan bertujuan merosakkan sistem pendawaian CCTV itu sebelum melarikan diri.

Ketua Polis Daerah Seremban Asisten Komisioner Thiew Hock Poh berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian daripada orang awam kira-kira 5 pagi, sebelum ke lokasi menjalankan siasatan.

Menurutnya, pemeriksaan pada CCTV mendapati seorang lelaki menggeledah ruang pejabat di rumah ibadat itu sebelum kebakaran berlaku.

"Hasil penemuan itu, kita menjalankan siasatan lanjut dan berjaya menangkap suspek di hadapan sebuah restoran di Jalan Temiang, Seremban, pada 12.15 tengah hari, hari ini.

"Kita turut merampas tabung dipercayai milik tokong berkenaan dan pakaian yang digunakan suspek ketika kejadian termasuk topi keledar serta motosikal," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Thiew berkata, suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Seremban, esok, untuk reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 January 2018 @ 8:02 PM