Raja Noraina Raja Rahim


ADIK kepada Ketua Pemuda UMNO Cawangan Kampung Nyatoh, yang disyaki menikam abangnya itu hingga mati, disambung reman tujuh hari lagi bermula hari ini.

Ketua Polis Daerah Seremban Asisten Komisioner Thiew Hock Poh berkata, suspek berusia 31 tahun terbabit disambung reman sehingga 20 November, berhubung siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, suspek yang ditahan pada 6 November lalu direman selama tujuh hari dan permohonan sambung reman itu dibuat polis di Mahkamah Khas Reman Seremban, hari ini.

"Suspek disambung reman bagi melengkapkan siasatan berhubung kes berkenaan yang membabitkan mangsa iaitu abang kandungnya sendiri, Norhaidi Mat Yusof, 40.

"Suspek dipercayai menikam mangsa di bahagian belakang badan dengan menggunakan pisau di rumah keluarganya di Taman Bunga Sejati, Rantau. Suspek ditahan di lokasi kejadian," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Harian Metro pada 7 November lalu melaporkan, mangsa maut akibat ditikam selepas bertengkar dengan adiknya di rumah ibu mereka.

Suspek dipercayai marah selepas Nor Haidi cuba merampas telefon bimbit miliknya bagi mengetahui kandungan mesej.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 November 2017 @ 5:59 PM