Raja Noraina Raja Rahim


KETUA jurulatih yang ditahan SPRM, semalam, kerana disyaki merasuah pemainnya direman lima hari, bermula hari ini.

Perintah tahanan reman itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Khas Reman Seremban, Rahimah Rahim, terhadap suspek berusia 40 tahun selepas menerima permohonan Pegawai Pendakwa SPRM, Mohd Khairi Abdul Karim.

Tahanan itu bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan terhadap suspek kerana disyaki memberi wang rasuah kepada pemainnya sebagai balasan memastikan kemenangan berpihak kepada lawan dalam kejohanan Liga Bolasepak Rakyat (LBR) Zon Selatan, November tahun lalu.

Dia disyaki merasuah 18 pemain iaitu RM80 seorang manakala RM100 seorang diberikan kepada tujuh kakitangan pasukan itu.

FOTO Hazreen Mohamad
FOTO Hazreen Mohamad

Suspek ditahan ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Negeri Sembilan di Seremban, pada kira-kira 3 petang semalam.

Suspek diwakili peguam Aina Nadirah Mohd Yusof.

Sementara itu, Pengarah SPRM Negeri Sembilan, Ramli Ismail mengesahkan penahanan reman suspek.

Berita berkaitan

Jurulatih bola sepak disyaki beri rasuah

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 January 2018 @ 12:24 PM