Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner R Munusamy menunjukkan gambar dua suspek kes bunuh yang dicari.
Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner R Munusamy menunjukkan gambar dua suspek kes bunuh yang dicari.
Mohd Azam Shah Yaacob


POLIS Sentul meminta kerjasama orang ramai untuk mengesan dua suspek pasangan suami isteri warga Madura yang dipercayai terbabit dalam kes bunuh seorang lelaki di tapak pembinaan Sky Awani Kondominium, Kampung Batu Muda, Jinjang pada 4 Oktober lalu.

Kedua-dua suspek dikenali sebagai Kasnawi dan Yumyat masing-masing berusia 30-an dipercayai masih bersembunyi di negara ini.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner R Munusamy berkata, dalam kejadian 4 Oktober lalu, pihaknya menerima panggilan memaklumkan penemuan mayat seorang lelaki dengan kesan tikaman di dada.

Menurut Munusamy, mangsa dikenali sebagai Horiri yang juga warga Madura, tinggal di sebuah rumah di tapak pembinaan itu bersama abangnya serta pasangan suami isteri itu sejak dua bulan lalu.

"Hasil maklumat yang kita terima, motif pembunuhan ini adalah disebabkan perasaan cemburu di mana mangsa dipercayai menjalin hubungan dengan isteri suspek.

"Ketika ditemui, terdapat tiga kesan tikaman iaitu satu di bahagian tepi dada kiri yang mengenai jantung serta paru-paru punca kematian, satu di bahagian leher dan satu di bahagian belakang badan," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul, sebentar tadi.

Sehubungan itu, pihaknya meminta orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat mengenai suspek untuk menghubungi Pegawai Penyiasat Asisten Superintendan Polis Farokh Faisal Ahmad di talian 017-7762991.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Oktober 2017 @ 4:49 PM