MAZLAN menunjukkan gambar ahli Geng Raju yang terbabit dalam kes samun beg tangan berjenama di IPK Kuala Lumpur, semalam. FOTO ROSELA ISMAIL
MAZLAN menunjukkan gambar ahli Geng Raju yang terbabit dalam kes samun beg tangan berjenama di IPK Kuala Lumpur, semalam. FOTO ROSELA ISMAIL
Nurul Hidayah Bahaudin


DUA ahli Geng Raju diburu selepas dipercayai terbabit dalam kejadian samun membabitkan kerugian RM7.1 juta di sebuah rumah di Jalan Duta di sini, 3 Oktober lalu.

Dalam kejadian jam 4 petang, lima suspek menaiki kereta Honda City pergi ke rumah sewa ahli perniagaan warga China berusia 25 tahun sebelum melarikan pelbagai barangan berharga.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, suspek menyamar sebagai penghantar barang sebelum pengawal keselamatan bertugas membuka pintu pagar.

Katanya, empat rakan suspek bersenjatakan parang menyerbu masuk ke dalam rumah sebelum mengikat pengawal keselamatan dan tukang kebun di kediaman itu.

“Suspek melarikan 85 beg tangan berjenama Hermes, 10 cincin emas, satu rantai berlian, 3 subang perak dan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Alphard.

“Sebuah komputer riba dan satu perakam kamera litar tertutup (CCTV) turut dilarikan dengan nilai keseluruhan RM7.1 juta,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di sini, semalam.

SEBAHAGIAN beg tangan berjenama Hermes yang ditemui
SEBAHAGIAN beg tangan berjenama Hermes yang ditemui

Mazlan berkata, pihaknya menahan pemandu ahli perniagaan itu berusia 36 tahun di Segambut di sini, keesokkan harinya selepas disyaki memberi maklumat kepada kumpulan penjenayah terbabit.

“Berdasarkan maklumat diperoleh, kami menahan dua lelaki berusia 20-an dan 40-an dalam serbuan berasingan di Negeri Sembilan dan Sepang, Selangor pada 24 Oktober lalu.

“Hasil tangkapan itu, kami berjaya menemui semula 81 beg tangan berkenaan yang diletakkan di dalam kereta Honda City yang digunakan suspek untuk melakukan samun dalam serbuan di Sepang, Selangor.

“Kami turut menahan seorang lagi lelaki yang dipercayai terbabit dalam kejadian berkenaan di Cheras 26 Oktober lalu,” katanya.

Katanya, pihaknya kini mengesan dua lelaki iaitu K Parameswaran, 24, dan S Kajenthiran, 26, untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 395 dan Seksyen 396 Kanun Keseksaan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Bilik Gerakan Jabatan Siasatan Jenayah IPK Kuala Lumpur di talian 03-21460685 atau Pegawai Penyiasat Asisten Superintendan Farokh Faisal Ahmad di talian 017-7762991,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 November 2019 @ 6:35 AM