GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Kalbana Perimbanayagam


MALANG berganda bagi pengawal keselamatan apabila bukan saja kerugian wang serta telefon bimbit, sebaliknya motosikalnya turut dilarikan empat lelaki bermotosikal bersenjatakan parang di Pos Pengawal berhampiran Sekolah Menengah Kepong Baru, 3.26 pagi semalam.

Bagaimanapun, mangsa yang berusia 46 tahun itu bernasib baik berikutan tidak dicederakan.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner R Munusamy berkata, ketika kejadian, mangsa sedang berkawal seorang diri sebelum empat lelaki menaiki dua motosikal berhenti di hadapannya.

Katanya, dua pembonceng motosikal kemudian meluru ke arah mangsa dengan mengacukan parang panjang serta mengarahkannya untuk mengeluarkan dompet serta barang berharga dimiliki.

"Seorang daripada dua lelaki yang bersenjatakan parang pula kemudian masuk ke dalam pondok pengawal sebelum mengambil telefon bimbit rakan mangsa.

"Mangsa yang ketakutan membiarkan saja perbuatan dua lelaki itu yang kemudian turut melarikan motosikal miliknya selepas mengambil kunci dalam poket seluar," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurut Munusamy, bertindak atas laporan dibuat mangsa, Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul kemudian menjalankan Ops Cantas bagi mengesan suspek.

Katanya, polis berjaya menahan lelaki berusia 32 di rumah flat di Taman Wahyu, Kuala Lumpur pada 12.15 tengah hari.

"Dalam tangkapan itu, polis turut merampas motosikal digunakan suspek, telefon bimbit milik mangsa selain topi keledar, jaket dan seluar yang digunakan suspek ketika melakukan samun.

"Kes ini disiasat mengikut Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkumpulan dan samun bersenjata dan kita kini sedang mengesan tiga lagi lelaki yang turut terbabit dalam kes samun itu,' katanya.

end

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Jun 2018 @ 4:41 PM