Nabihah Kamal 

 

 

Kuala Lumpur: Dalam tempoh kurang 24 jam, pegawai dan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul berjaya menyelesaikan kes curi pacuan empat roda Toyota Land Cruiser selepas menahan empat lelaki dan dua wanita di Chow Kit dan Jalan Raja Laut, sini, semalam. 

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner R Munusamy berkata, dua lelaki mengacukan pistol angin sebelum melarikan kereta seorang wanita dalam kejadian di Jalan Ipoh, 7 pagi kelmarin.  

"Mangsa berusia 60 tahun diacukan pistol angin sebelum seorang daripada suspek menolak mangsa dan melarikan keretanya. 

"Bagaimanapun, pada 1 pagi semalam, polis berjaya menahan empat lelaki bersama pacuan empat roda Toyota Land Cruiser yang ditemui di hotel di Chow Kit," katanya. 

Menurut Munusamy, polis turut menahan dua wanita susulan penemuan pistol angin di  hotel di Jalan Raja Laut yang ada kaitan dengan kes curi itu. 

"Pistol angin yang digunakan untuk mengugut pemilik Land Cruiser itu disimpan di siling tandas bilik berkenaan," katanya. 

Menurutnya, hasil siasatan mendapati, suspek sedang berurusan untuk mencari pembeli kenderaan curi itu.  

"Suspek tidak sempat jual kenderaan itu dan mereka kini ditahan direman.  

"Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan atas kesalahan samun berkawan tanpa senjata api," katanya 

 

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 April 2017 @ 5:30 PM
Munusamy menunjukkan pistol angin yang digunakan suspek untuk mengugut sebelum melarikan kenderaan mangsa. FOTO Nabihah Kamal
Munusamy menunjukkan pistol angin yang digunakan suspek untuk mengugut sebelum melarikan kenderaan mangsa. FOTO Nabihah Kamal